Tuesday, August 23, 2011

Mereka datang bawa kad jemputan kahwin...



Semalam selepas asar, terdetik di hati untuk pergi ke Pantai Cahaya Bulan (P.C.B). Antara rumahku dengan P.C.B hanya lingkungan 6 kilometer. Sudah menjadi kebiasaan aku bergurau senda dengan angin pantai sambil meluahkan segala-segala padanya ketika aku buntu dalam mencari arah kehidupan.

Kali ini aku ditemani dua adikku Huda dan Nabil.

Ini kali pertama aku ke pantai pada bulan puasa. Kiri kanan ku lihat keadaan sungguh sunyi dan lengang. Aku menghentikan kereta di satu pondok lalu adik-adikku keluar berlari ke arah persisiran pantai.

Aku pula perlahan-lahan keluar dari kereta sambil sarat memikul bebanan permasalahan yang kian menyempitkan dada dan kepala. Satu persatu aku aku melangkah ke arah timbunan tebing batu untuk mencari tempat duduk.

Memandang ke arah laut yang terbentang luas itu sambil merenung kekuasaan Allah Taala. Sungguh hebat !! Langit yang tidak bertiang, air laut yang terbentang seluas pandangan, angin yang bertiup dipelbagai arah bagai sedang taat mengikut arahan, deruman ombak yang memukul pantai bagai sedang berkata-kata memuji Tuannya...subhanallah...

Pantai itu Menenangkan.

Semakin dalam aku merenung semua itu semakin ringan bebanan di dada dan di kepalaku ini. Aku pun hairan, setiap kali aku merenung sedemikian semakin luas dadaku. Proses apakah itu? Tindak balas apakah itu? Tapi aku yakin...itulah kuasa Allah !! Ternyata sangat tepat bunyi air itu memang menenangkan. Kalau tidak kenapa Allah Taala memberi gambaran syurga kelak dengan "syurga yang mengalir di bawahnya air sungai"?

Tidak lama kemudian, aku menoleh ke belakang. Dari jauh kelihatan dua orang berjalan ke arah ku. Seorang berjubah dan seorang berbaju melayu. Sebelum mereka sempat menghampiriku, aku sudah dapat kenal mereka. Wan Hakimi Bin Wan Mohd Nor bersama adiknya. Housemateku ketika di Mu'tah, Jordan, suatu ketika dahulu. =)

Dengan riak muka senyum-senyum kambing kimi dan adiknya mendekatiku. Dalam hatiku berbisik, "masyaAllah, banyak-banyak tempat, kat sini jugak dapat berjumpa". Terus aku menjabat tangan dan menarik mereka duduk di atas timbunan batu-batu itu.

Itulah kali pertama kami berjumpa setelah aku dan dia pulang ke tanah air ini. Walaupun jarak antara rumah kami hanya 3 km, tapi di pantai itu juga kami dipertemukan. Allah...

Tidak sempat kami berborak panjang mengenang kehidupan di Jordan dan bertanya khabar sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.....aku sekali lagi terpanggil untuk menoleh ke belakang sekali lagi. Dengan dahi yang berkedut dan mata yang semakin sepet, fokus melihat dua lelaki yang berada di dalam kereta kancil silver.

Dalam hati kecilku tertanya, "macamku kenal kelibat laki-laki tu, tapi siapa ya..?".

Kimi juga turut menoleh ke belakang dah mengesahkan bisikan hatiku itu dengan terus menjerit berkata, "Allah...! Azrai nge Azfar pong ado jugok sini...! hahahaha"..

Ternyata semua itu adalah kebetulan. Setelah mereka menyedari lambaian dan jeritan panggilan dari kami itu, mereka terus keluar dari kereta dan dengan muka penuh segan silu datang kepada kami. Sungguh indah kebetulan ini.!

Berdakap erat kami berempat bersaksikan pantai dan juga batu-batu. Azrai dan Azfar juga merupakan teman seperjuanganku di bumi Jordan suatu masa dahulu. Hatiku sangat tersentuh dengan kebetulan itu. Hanya Allah Taala saja yang tahu.

Dimulakan dengan pertukaran perkhabaran, disusuli dengan luahan rasa terkejut dengan aturan pertemuan itu. Semakin lama berbual semakin saya merasa bahawa perbualan ini tiada tajuk. Sehinggalah salah seorang daripada kami membuka lembaran baru untuk dicoret dengan cerita baru, cerita "membina ketenangan hati".

Hanya aku saja yang kini mencari ketenangan dengan bergurau senda dengan belaian angin dan pujukan deruman ombak pantai. Namun mereka berdua telah menjumpai gerbang ketenangan dan kebahagiaan sebenar mereka. Mereka bakal menenangkan hati dengan pujukan dan belaian seorang insan yang bergelar 'isteri'. Mabruk alaikuma....

Rupanya-rupanya datang mereka membawa perutusan raja sehari ! hehe.. Sungguh tidak diduga.

Walau apapun, sekalung tahniah diucapkan pada sahabatku Azrai dan Azfar khususnya dan sahabat-sahabat yang lain (Amir&Afifah Azam, Farhan, Ashaari, Nawawi dan lain-lain) amnya. Kerana kalian telah menyahut satu lagi seruan sunnah yang tidak mampu untuk dilaksanakan oleh sembarangan orang iaitu PERKAHWINAN.

Ayuh sama-sama kita doakan agar segala urusan mereka dipermudahkan. Semoga Allah menggolongkan mereka dalam golongan manusia yang mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.

اللهم بارك لهم وبارك عليهم واجمع بينهم
اللهم ألّف بين قلوبهم وأنزل عليهم السكينة والهدوء في دخلتهم
اللهم ارزقهم الحلال الطيب الذي ترضى عنهم به يا رب العالمين
اللهم ارزقهم طيب المعاملة والحب والرومنسية والصدق
اللهم أبعد الشيطان والغيرة والحسد والنظر إلى ما لم يحلل الله
اللهم اغفر لهم برضاك عليهم
اللهم اغفرلهم برضا أهلهم عليهم
اللهم ارزقهم أطفالاَ يحفظون القرءان ويطيعوك ويطيعوهم
اللهم أبعدهم عن ذلات الدنيا وأهوائها
اللهم امين



p/s : Minta maaf pada teman-teman, jika saya tak dapat hadir ke walimatul urus kalian pada hari yang telah ditetapkan tu...mungkin ada masyaqqoh atau lain-lain.

No comments: