Wednesday, December 21, 2011

Selamat berjuang wahai PANGLIMA-PANGLIMA KUIS !

Dari Bandaraya Islam ke Bandaraya Ilmu....

Minggu lepas, hampir seminggu saya berada di Bangi, Selangor. Berteduh di rumah pakcik. Berteman dengan sahabat-sahabat seperjuangan KUIS dan Universiti Mutah. Terima kasih pada kalian atas kesudian meluangkan masa. Saya doakan perjuangan kalian di jalan menuntut ilmu dipermudahkan oleh Allah Taala.

Walaupun jasad di medan pendidikan, namun semangat dan tekad untuk terus mengkaji ilmu-ilmu fiqh terutamanya masih lagi subur dalam hati.

Walaupun sudah 6 bulan Universiti Mutah dalam kenangan, namun bau-bau kitab di maktabah Universiti dan Maktabah dandis masih segar dalam khayalan, seperti baru semalam sedang meniup debu di ruangan kitab 216 dan 217 di maktabah universiti.

Walaupun sudah 2 tahun setengah menjadi alumni KUIS, namun kelibat-kelibat 'panglima-panglima' mahasiswa di bilik gerakan mahasiswa dan Pejabat MPMKUIS masih jelas di ingatan.

Benarlah! Masa itu amat berharga! Maha Kaya Allah Taala menciptakan setiap detik itu dengan segalanya yang baru. Tiada satu detik pun yang sama. Mustahil hari ini sama dengan semalam. Mustahil esok sama dengan hari ini.

Mustahil lah saya mahu mengembalikan kenangan-kenangan dulu yang indah itu! Tapi tidak mustahil untuk saya mengharap detik-detik yang lebih indah dari itu.!!

Selamat mengundi buat warga KUIS !!

Esok tanggal 22 Disember 2011 akan berlangsungnya PRK KUIS kali ke 11. Setelah 2 sesi kepimpinan MPM KUIS berlalu tanpa PRK, namun kali ini ditaqdirkan Allah dengan bilangan pencalonan yang ramai yang membolehkan sesi manifesto dan kempen-kempen dilakukan menjelang esok ! Alhamdulillah...

Bermula pada minggu lepas (14hb Disember 2011-Rabu) iaitu hari pencalonan diikuti dengan malam manifesto pada 16hb Disember 2011 dan bakal berakhir dengan PRK pada esok hari. Setelah berpeluang bertemu mata dengan sebilangan besar calon-calon rasmi PRK kali ini, saya berasa lebih yakin dan selesa dengan masa depan mahasiswa KUIS di masa hadapan.

Dengan ideologi dan pembawakan yang pastinya berbeza itu, saya hanya mengharapkan matlamat atau hadaf yang satu di kalangan calon-calon PRK kali ini untuk melahirkan generasi Ilmuan yang berakhlak sesuai dengan motto KUIS "Pemangkin Tradisi Ilmu."

Ditambah lagi dengan pembawakan baru oleh Rektor baru KUIS, iaitu dengan menjadikan Masjid Al-Azhar itu sebagai jantung KUIS. Dengan kata lain, melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar tinggi daya interlektualnya bahkan tinggi nilai spiritualnya.

Usahlah kalian membanding-bandingkan dengan hasil dari kepimpinan-kepimpinan MPM yang lepas, tetapi saingilah usaha yang telah dilakukan oleh mereka. Kerana yang akan dipersoalkan bukanlah hasilnya tetapi usahanya!

Jadilah mahasiswa yang selalu mendekatkan diri pada Tuhannya!
Jadilah mahasiswa yang sentiasa positif dengan ujian dan cabaran semasa!
Jadilah mahasiswa yang tidak kenal erti putus asa!
Jadilah mahasiswa yang mengenal hak dan tanggungjawabnya!
Jadilah pemimpin yang menerima pujian dan celaan manusia dengan perasaan yang sama!
Jadilah mahasiswa yang mampu membezakan antara matlamat dan cara!

Ingat....tujuan asalmu untuk duduk di 'kerusi panas' MPM itu bukan hnya untuk 'menghidupkan' MPM...bukan hanya untuk menghentam pengurusan...bukan hanya untuk mendengar jeritan kemahuan mahasiswa semat-mata... bukan untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana kumpulan...bukan untuk merebut kerusi presiden semata-mata...bukan untuk menunjukkan siapa betul siapa salah...malah...tugas yang lebih besar untuk kalian adalah untuk mengajak manusia mengenal dan takut pada Allah!

Bukan sekadar mengajak rakyat-rakyatmu, kawan sejawatanmu, orang-orang di atasmu,..bahkan seluruh pimpinan di peringkat universiti, kebangsaan dan juga antarabangsa.

Dalam kesibukanmu mengajak manusia-manusia itu, jangan sekali kau lupa memperelokkan dirimu juga. Jadilah mahasiswa yang SOLEH, kerana Allah hanya mewariskan bumi ini kepada hamba-hambaNYA yang soleh sahaja.

Oleh itu, kesatuan gerak kerja mahasiswa sangat diperlukan untuk merealisasikan matlamat ini! Tolong menolonglah untuk kebaikan, bukan tolong menolong demi kawan, kumpulan atau persatuan!

Pimpinlah mereka dengan ILMU....

Seorang pemimpin tidak akan lenyap daripada berdepan dengan kehendak-kehendak rakyatnya. Maka kau penuhilah kehendak-kehendak Tuhanmu, semoga Tuhanmu memenuhi kehendak-kehendak mereka itu. Jika kau tetap berkeras juga mahu memenuhi kehendak-kehendak manusia itu, maka kamu tidak akan ketemu titik penghujungnya.

Oleh itu, kenalilah mana satu kehendak Tuhanmu dan mana satu kehendak hawa nafsumu. Hanya dengan ILMU, kamu akan mampu membezakannya.

Ketahuilah, bahawa Allah hanya menuntutmu dengan DUA perkara. Membuka seluas-luasnya pintu kebaikan (maslahah) dan menutup serapat-rapatnya pintu kebinasaan (mafsadah). Hanya itu prinsip Qiadah Islamiyyah.

Oleh itu, tatkala kalian mahu membuka pintu-pintu maslahah itu, maka berilah keutamaan kepada yang lebih utama. Lakukan ia mengikut kemampuan dan keperluan ummah. Amati Fiqh Awlawiyyat nya.......

Utamakan Undang-undang Tuhanmu berbanding Undang-undang Universiti mu. Kerana undang-undang Allah jauh lebih luas dan lebih adil berbanding undang-undang universitimu.

Bukan niat saya untuk memperlekehkan undang-undang Universiti mahupun kerajaan Malaysia, tapi saya mohon sahabat-sahabat mahasiswa dan pemimpin-pemimpin ISLAM meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Bahkan saya hanya mahu mengajak sahabat-sahabat dan pembesar-pembesar sekalian untuk lebih memahami undang-undang Universiti dan undang-undang Malaysia. Patuhilah undang-undang Allah, nescaya kamu tidak akan bermasalah dengan undang-undang Universitimu dan Negaramu.

Wahai mahasiswa!

Jangan sekali-kali kalian takut ataupun gentar untuk melampaui undang-undang mereka itu kerana mereka pun tidak pernah gentar menderhaka undang-undang Allah.

Jangan pula kalian segan untuk menegur pemimpin kalian kerana nasihat kalian itu lebih bermakna daripada kalian hanya membiarkan mereka terus berada dalam kesesatan dan kebingungan itu!

Jangan kalian cepat melatah dan mengadu domba apabila timbul permasalahan, kerana jika kalian mengumpul dan meneliti bukti-bukti masalah tersebut dan menyalurkannya kepada pihak berwajib, itu lebih banyak membantu dalam menyelesaikan permasalahan kalian.

Wahai Pemimpin mahasiswa!

Jangan sekali-kali kalian takut untuk meruntuhkan meja pihak pengurusan tatkala mereka membuat keputusan yang tiada manfaatnya pada mahasiswa, bahkan mengundang kesulitan!

Jangan sekali-kali kalian bimbang untuk menutup mulut mahasiswa tatkala mereka berteriak melaungkan perjuangan yang langsung tidak memberi faedah kepada ummah, bahkan memecah-belahkan ummah!

Kerana keutamaan perjuangan 'panglima Islam' adalah maslahah orang ramai bukan maslahah orang-orang tertentu!


Tatkala kalian mahu menutup pintu-pintu kefasadan pula, maka gunakanlah pendekatan yang penuh dengan hikmah!

Jika suatu keputusan itu membawa kepada kefasadan yang nyata maka berkeraslah....dan jika kefasadannya masih lagi samar-samar, maka bertolak ansurlah atau berilah kepada mereka alternatif-alternatif yang sesuai....Amatilah Fiqh Ikhtilaf, fiqh badil dan fiqh dakwah nyaa.....

Akhir kalam....

Kerisauan saya bukan pada siapa calon yang bakal menang? tapi saya cukup bimbang bagaimana calon yang menang itu akan memimpin dan mentadbir ummah?! Adakah mereka sudah memahami waqi' mahasiswa dan pengurusan KUIS dengan betul? Adakah mereka sudah jelas dengan matlamat mereka bertanding sebagai MPM? adakah mereka sudah bersedia mengutamakan telunjuk keadilan berbanding telunjuk manusia?.........

Pilihlah untuk menjadi seorang yang matang wahai 'panglima-panglima' mahasiswa yang masih muda...kerana kayu ukur kematangan seseorang bukan pada umur atau jawatannya, tapi pada perlakuan dan tutur bicaranya yang berlandaskan ILMU di dada. Cukuplah isu Adam Adli vs Panglima ludah itu memberi gambaran jurang perbezaan yang jauh antara yang matang dan yang tidak matang, antara yang berilmu dan yang tidak berilmu!