Sunday, July 21, 2013

Jangan tipu para Ustaz !


Ikhlas dan Ustaz.

Alhamdulillah wa syukru Lillah wa ba'du...

Setiap manusia bergantung pada amalannya. Setiap amalan bergantung pada niatnya. Setiap niat bergantung pada ikhlasnya. Hanya amalan yang didasari dengan niat yang Ikhlas sahaja akan diterima oleh Allah.

 Sebenarnya sudah sedia maklum bahawa Ikhlas merupakan tuntutan terhadap setiap individu Muslim. Kerana Ikhlas akan mengibadat sesuatu amalan yang dikerjakan. Oleh itu, setiap orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mesti mengerjakan setiap pekerjaannya dengan niat yang Ikhlas kerana Allah Taala.

Ustaz pula ialah gelaran khas yang diberikan kepada individu yang mempunyai ilmu agama atau sedang belajar ilmu agama atau mengajar ilmu agama. Jika mengajar matematik atau bahasa melayu dia akan digelar cikgu. Itu mungkin diperingkat pengajian rendah atau menengah. Jika di universiti, tenaga pengajarnya dipanggil Doktor atau Prof. Begitulah seterusnya.

Namun Ikhlas tidak mengenal gelaran-gelaran tersebut. Ikhlas hanya kenal gelaran Muslim. Setiap individu yang bergelar Muslim wajib ikhlas dalam setiap tindakannya. Jika ia tidak ikhlas dalam melakukan kerjanya, apa akibatnya? Adakah dia digantung kerja? Adakah gajinya berkurangan?

Jawapannya tidak. Dia akan tetap dengan jawatan dan gajinya. Tapi di sisi Allah, pekerjaannya berpuluh-puluh tahun itu adalah sia-sia. Tiada saham pahala baginya di akhirat nanti. Yang akan membantunya nanti hanya solatnya, puasanya, sedekahnya, baca qurannya. Itupun kalau dia ikhlas mengerjakannya, jika tidak maka sehelai sepingganglah dia di akhirat nanti.

AMBIL KESEMPATAN ATAS KESEMPITAN.

"Ustaz, tahun ni dah ada permintaan jadi imam tarawih? boleh tak ustaz jadi imam tarawih di masjid kampung ana?" -ajak seorang JKK masjid.

" Setakat ni belum ada orang minta lagi, insyaAllah kalau ana dikurniakan kesihatan yang baik ana boleh jadi imam nanti." -balas saya sepontan walaupun dalam hati agak berat kerana baru dapat kerja di MTAQA. Setiap hati terpaksa merentas perjalanan 60km.

"Ustaz jangan risau, minyak kereta kami bagi klaim (jarak dari rumah saya ke masjid 40km pergi balik), dan saguhati nanti kami akan bagi." -bodek dia lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala sambil senyum mendengar kata-kata itu. Di hati kecil ini sebak syukur kepada Allah. Mungkin inilah pertolongan Allah untuk saya disaat saya sangat memerlukan.

"Tahun ini bolehlah saya kumpul duit lebih untuk persediaan kahwin." -Bisik nakal hati kecil ini.

"Tahun lepas siapa jadi imam masjid tu?" -tanya saya lagi menyiasat latar belakang masjid tersebut.

"Tahun lepas kami jemput ustaz tahfiz dari perak. Kami bagi rumah untuk dia duduk dekat dengan masjid. Dia hanya imam subuh dengan tarawih je. Tahun lepas saguhati yang kami bagi RM 3xxx." -lancar huraiannya seperti membaca skrip yang telah diatur.

" Oh macam tu. Kenapa tahun ni tak ambil dia lagi?" -saya meneruskan soal siasat.

"Setiap tahun masjid kami tukar-tukar imam tarawih. Tukar angin. Nak ambil hati makmum. Lagipun ana dengar ustaz jadi imam bagus, bacaan ustaz bagus "- jawapan serta gurauan.

" kalau saya jadi imam kat masjid tu nanti, saya akan jadi imam tarawih sahaja tak boleh jadi imam subuh dan tak nak jadi pentazkirah, dan saya nak buat 8 rakaat tarawih sahaja." - syarat ringan dari saya.

"okey boleh, nanti saya akan maklumkan pada pengerusi masjid nanti. Saya rasa tak ada masalah dengan permintaan ustaz tu" -janji pemuda itu mengakhiri perbualan kami.

Ramadhan bermula. Saya memulakan tugasan saya dengan kejutan pertama yag sangat menarik.

Tok Imam masjid bersama beberapa jemaah masjid tersebut minta saya buat 20 rakaat. Hanya dimaklumkan selepas solat isyak. Mana boleh saya menang  jika 1 lawan 4, 5 orang. Pasrah dan laksanakan sahaja tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh lillah taala.

27 malam berlalu. Saya meminta dari Tok Imam agar diberi kelonggaran bertarawih di kampung sendiri menjelang hari raya. Tok Imam berkeras tidak mengizinkan dengan alasan "jemaah masih mahukan ustaz". Bahkan dia menambah satu lagi kejutan.

"Ustaz tolong baca khutbah raya di masjid ni boleh? Ana dah tua, dah bertahun-tahun ana baca, tahun ni kalau boleh nak dengar orang muda pulalah. Boleh la ustaz ye." -mujamalah Tok Imam Tua.

Terkelu lidah saya. Seolah dikunci seluruh anggota badan saya. Tiba-tiba teringat nasihat ustaz saya sewaktu di Maahad tahfiz, "pungutlah pengalaman sebanyak-banyak yang mungkin ketika usia masih muda ni".

"Baiklah tok imam, nanti saya tolong." - mulut saya melafazkannya sebelum hati mengizinkannya.

Tahun ini dalam sejarah. Saya beraya di kelantan tapi bukan di rumah.

Setelah selesai solat aidilfitri dan khutbah raya, saya bersalaman dengan jemaah masjid tersebut. Mungkin itu wida' kami. Di akhiri dengan bersalaman dengan tok imam tua bersama beberapa orang JKK masjid.

Sambil bersalam tok imam menghulurkan sepucuk sampul surat putih yang berisi wang saguhati. ALHAMDULILLAH....penat seorang imam tarawih 20 rakaat berseorang Allah sahaja tahu.

"Terima kasih ustaz, ini ada sedikit sumbangan dari pihak masjid, harap ustaz dapat terima." -ujar tok imam tua.

"Takpe..ustaz ikhlas je jadi imam tarawih ni. Bagi je berapa-berapa pun ....hehee" -suara salah seorang JKK masjid tersebut menyelit sambil ketawa riang.

"Terima kasih juga, saya minta maaf kalau ada kekurangan sepanjang saya jadi imam tarawih tahun ni. Saya minta diri dulu nak jumpa mak ayah di kampung." -saya minta diri.

Sepanjang perjalanan pulang, riang berhari raya bercampur gembira mendapat gaji dihias takbir hari raya dan lagu-lagu raya di radio.

Sesampai di rumah saya bersalaman dengan ahli keluarga, makan pagi dan menziarahi sanak saudara berdekatan. Tengah hari saya pulang ke rumah untuk berehat sebelum zuhur. Sempat membuka sampul surat putih untuk melihat rezeki  "gaji" dan "klaim" saya bulan ini. Gaji bulan ini RM 7xx.

Setelah tahu jumlah tersebut saya terus terbayang kata-kata terakhir JKK tersebut. Sungguh mengecewakan. Dia telah mengambil kesempatan atas kesempitan saya. “Ikhlas” adalah modalnya.

Bukan sedih dengan jumlah tersebut tapi sedih dengan sikap Muslim. Saya boleh lupakan janji JKK masjid tersebut sebelum saya dilantik menjadi imam tarawih tapi saya tidak akan pernah lupa tentang pahala dari Allah Taala.

Demikian pengalaman saya yang saya rasa sesuai untuk dikongsi pada kali ini. Banyak lagi pengalaman yang seirasnya yang pernah dialami oleh para ustaz-ustaz di luar sana.

Ustaz mudah ditipu.?? Kenapa?? Kerana mereka tahu ustaz-ustaz tak akan berani mengungkit atau untuk minta duit tersebut takut digelar "ustaz tidak ikhlas".

Motif saya kali ini bukan menagih simpati tapi menyedarkan masyarakat dengan realiti para ustaz-ustaz.. Kalau cikgu makan nasi, ustaz pun makan nasi. Kalau bisnesman berbelanja, ustaz pun berbelanja. Kerana ustaz pun hidup di dunia.

Amaran ringkas dari saya. Jangan cuba perangkap ustaz-ustaz dengan perangkap "Ikhlas" di dunia. Dan jangan pernah anggap "ikhlas" itu perangkap bagi ustaz-ustaz. !!

Selamat berpuasa dan selamat mengikhlaskan diri dalam setiap amalan.

1 comment:

qu said...

College of Engineering at Unizah is a new college which is affiliated to Qassim University. It follows the same curriculum as that of the College of Engineering in the main campus.