Sunday, August 28, 2011

Bukan Alim jika tak berakhlak...

Adam a.s adalah manusia pertama yang diciptakan oleh Allah Taala. Baginda juga merupakan spesis manusia yang pertama yang telah menghuni bumi ini. Bahan ciptaan Adam a.s adalah tanah. Kemudian untuk menghidupkan baginda, Allah telah mengarahkan malaikatNya meniupkan roh ke dalam jasad tanah tersebut.

Maka di situ telah bermula keturunan manusia !

Oleh itu, sedarlah kita bahawa keturunan kita adalah sama !! Bahan ciptaan kita adalah Tanah (zahir) dan Roh (batin). Tidak mengira agama, bangsa, negara, warna kulit, bahasa, politik, nama, tempat lahir dan segalanya....kita semua bermula dari permulaan yang sama.


Islam adalah agama Zahir dan Batin.

Sepertimana jasad yang perlu dijaga dan dihias, begitu juga roh. Kerana Allah tidak melihat pada paras rupamu, tapi Dia melihat pada hatimu.

Walaupun Allah menurunkan pemakaian yang boleh menghiasi tubuh badan manusia dengan cara menutup aurat, namun pakaian yang paling bagus adalah "pakaian taqwa".

Walaupun Allah menciptakan manusia itu dengan jenis lelaki dan perempuan, kemudian dibiakkan kepada pelbagai bangsa dan kabilah, namun manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah manusia yang bertaqwa.

Oleh itu, Islam adalah agama yang mementingkan dalaman sesuatu, namun tidak sekali-kali menolak luarannya.

"Sesungguhnya setiap perbuatan itu adalah pada niatnya"


Umat Islam keliru dalam menilai Zahir dan Batin manusia.


Siapa kita untuk menilai orang lain?!

Yaa..benar. Kita tidak patut membuat penilaian sewenang-wenangnya terhadap orang lain (baik dan buruknya) kerana ia boleh menimbulkan banyak fitnah dan perpecahan ummah.

Namun begitu, 'menilai orang lain' ini juga sangat diperlukan pada waktu-waktu tertentu. Seperti majikan yang ingin mengambil pekerja-pekerjanya atau ingin menaikkan gajinya. Ketika mencari pasangan hidup. Adakah penilaian-penilaian sebegitu masih lagi dilarang??!!

Bagaimana kita mahu menilai manusia ??

Oleh kerana manusia itu terdiri dari zahiriyyah dan batiniyyah, sedangkan manusia hanya mampu melihat luaran sahaja, maka agak sukar untuk kita menilai seseorang.

Selaku 'manusia' yang mempunyai kemampuan terbatas ini. Cukuplah dengan kita menilai luarannya sahaja. Usahlah kita keliru dan risau lagi. Kerana kekeliruaan kita itu mungkin memberi ruang kepada mereka yang mahu mempermain-mainkan agama kita.

Contoh terdekat, golongan yang masih "segan" dengan Islam.

Mereka selalu berpakaian tidak menutup aurat. Sebahagian mereka dengan yakin mendakwa bahawa menutup aurat itu hanyalah ibadah luaran sahaja. Kata mereka, "walaupun kami tak tutup aurat, tapi hati kami bersih dan jujur dengan islam", "mereka yang pakai tutup aurat tu pun ade je yang berperangai tak senonoh", "alaa...kami bukannye buat dosa besar pon, tak pakai tudung je pon.." dan banyak lagi kata-kata manusia "segan" dengan Islam itu yang mungkin tergambar di fikiran kita.

Ini tidak bermakna mereka sudah jauh dengan Islam. Bahkan mereka itu telahpun Islam. Tetapi mereka lebih layak dipanggil untuk menerima didikan agama yang khusus, daripada mereka memberi didikan agama yang khusus kepada orang lain.

Bukan niat saya untuk menyempitkan ruanglingkup amalan dalam agama Islam, tapi hanya berusaha untuk membantu mereka yang selalu keliru dengan persoalan-persoalan zahir dan batin ini.

Contoh kedua adalah golongan yang "sangat yakin" dengan Islam.

Mereka adalah golongan yang "berasa" Alim. Baru sahaja dianugerahkan oleh Allah dengan Ilmu pengetahuan yang labih berbanding orang lain, sudah berani menolak pendapat orang lain mentah-mentah.

Antara kata-kata mereka, "Islam tak pernah ajar begitu", "Nabi hanya buat begini", "Kalau takde dalil jangan nak bercakap dengan saya", dan kata-kata yang sewaktu dengannya lah.

Ternyata kata-kata dan perbuatan mereka itu langsung tidak melambangkan akhlak Islam yang sebenar. Dan juga langsung tidak memberi makna kepada ilmu-ilmu Allah yang mereka miliki itu.

Oleh itu, nilaian kita terhadap mereka adalah mereka bukan orang Alim dalam Islam. Mereka lebih menerima tarbiyyah dari yang selayaknya, daripada mereka memberi tarbiyyah kepada orang lain.

Kesimpulan.

Janganlah sewenang-wenangnya menilai manusia yang lain. Tetapi jika perlu menilai juga, maka nilailah merek dengan penilaiaan yang adil lagi saksama.

Kefahaman yang baik terhadap Islam dalam diri akan membuahkan akhlak yang selari dengan Islam. Tidak kira kefahaman itu hanya "dakwaan semata-mata" ataupun "memang betul-betul banyak ilmu".

Yang penting adalah dalaman yang bersih akan menghasilkan luaran yang cantik, manakala dalaman yang kotor akan menghasilkan luaran yang hodoh.!!

Tuesday, August 23, 2011

Mereka datang bawa kad jemputan kahwin...



Semalam selepas asar, terdetik di hati untuk pergi ke Pantai Cahaya Bulan (P.C.B). Antara rumahku dengan P.C.B hanya lingkungan 6 kilometer. Sudah menjadi kebiasaan aku bergurau senda dengan angin pantai sambil meluahkan segala-segala padanya ketika aku buntu dalam mencari arah kehidupan.

Kali ini aku ditemani dua adikku Huda dan Nabil.

Ini kali pertama aku ke pantai pada bulan puasa. Kiri kanan ku lihat keadaan sungguh sunyi dan lengang. Aku menghentikan kereta di satu pondok lalu adik-adikku keluar berlari ke arah persisiran pantai.

Aku pula perlahan-lahan keluar dari kereta sambil sarat memikul bebanan permasalahan yang kian menyempitkan dada dan kepala. Satu persatu aku aku melangkah ke arah timbunan tebing batu untuk mencari tempat duduk.

Memandang ke arah laut yang terbentang luas itu sambil merenung kekuasaan Allah Taala. Sungguh hebat !! Langit yang tidak bertiang, air laut yang terbentang seluas pandangan, angin yang bertiup dipelbagai arah bagai sedang taat mengikut arahan, deruman ombak yang memukul pantai bagai sedang berkata-kata memuji Tuannya...subhanallah...

Pantai itu Menenangkan.

Semakin dalam aku merenung semua itu semakin ringan bebanan di dada dan di kepalaku ini. Aku pun hairan, setiap kali aku merenung sedemikian semakin luas dadaku. Proses apakah itu? Tindak balas apakah itu? Tapi aku yakin...itulah kuasa Allah !! Ternyata sangat tepat bunyi air itu memang menenangkan. Kalau tidak kenapa Allah Taala memberi gambaran syurga kelak dengan "syurga yang mengalir di bawahnya air sungai"?

Tidak lama kemudian, aku menoleh ke belakang. Dari jauh kelihatan dua orang berjalan ke arah ku. Seorang berjubah dan seorang berbaju melayu. Sebelum mereka sempat menghampiriku, aku sudah dapat kenal mereka. Wan Hakimi Bin Wan Mohd Nor bersama adiknya. Housemateku ketika di Mu'tah, Jordan, suatu ketika dahulu. =)

Dengan riak muka senyum-senyum kambing kimi dan adiknya mendekatiku. Dalam hatiku berbisik, "masyaAllah, banyak-banyak tempat, kat sini jugak dapat berjumpa". Terus aku menjabat tangan dan menarik mereka duduk di atas timbunan batu-batu itu.

Itulah kali pertama kami berjumpa setelah aku dan dia pulang ke tanah air ini. Walaupun jarak antara rumah kami hanya 3 km, tapi di pantai itu juga kami dipertemukan. Allah...

Tidak sempat kami berborak panjang mengenang kehidupan di Jordan dan bertanya khabar sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.....aku sekali lagi terpanggil untuk menoleh ke belakang sekali lagi. Dengan dahi yang berkedut dan mata yang semakin sepet, fokus melihat dua lelaki yang berada di dalam kereta kancil silver.

Dalam hati kecilku tertanya, "macamku kenal kelibat laki-laki tu, tapi siapa ya..?".

Kimi juga turut menoleh ke belakang dah mengesahkan bisikan hatiku itu dengan terus menjerit berkata, "Allah...! Azrai nge Azfar pong ado jugok sini...! hahahaha"..

Ternyata semua itu adalah kebetulan. Setelah mereka menyedari lambaian dan jeritan panggilan dari kami itu, mereka terus keluar dari kereta dan dengan muka penuh segan silu datang kepada kami. Sungguh indah kebetulan ini.!

Berdakap erat kami berempat bersaksikan pantai dan juga batu-batu. Azrai dan Azfar juga merupakan teman seperjuanganku di bumi Jordan suatu masa dahulu. Hatiku sangat tersentuh dengan kebetulan itu. Hanya Allah Taala saja yang tahu.

Dimulakan dengan pertukaran perkhabaran, disusuli dengan luahan rasa terkejut dengan aturan pertemuan itu. Semakin lama berbual semakin saya merasa bahawa perbualan ini tiada tajuk. Sehinggalah salah seorang daripada kami membuka lembaran baru untuk dicoret dengan cerita baru, cerita "membina ketenangan hati".

Hanya aku saja yang kini mencari ketenangan dengan bergurau senda dengan belaian angin dan pujukan deruman ombak pantai. Namun mereka berdua telah menjumpai gerbang ketenangan dan kebahagiaan sebenar mereka. Mereka bakal menenangkan hati dengan pujukan dan belaian seorang insan yang bergelar 'isteri'. Mabruk alaikuma....

Rupanya-rupanya datang mereka membawa perutusan raja sehari ! hehe.. Sungguh tidak diduga.

Walau apapun, sekalung tahniah diucapkan pada sahabatku Azrai dan Azfar khususnya dan sahabat-sahabat yang lain (Amir&Afifah Azam, Farhan, Ashaari, Nawawi dan lain-lain) amnya. Kerana kalian telah menyahut satu lagi seruan sunnah yang tidak mampu untuk dilaksanakan oleh sembarangan orang iaitu PERKAHWINAN.

Ayuh sama-sama kita doakan agar segala urusan mereka dipermudahkan. Semoga Allah menggolongkan mereka dalam golongan manusia yang mendapat kebahagian di dunia dan akhirat.

اللهم بارك لهم وبارك عليهم واجمع بينهم
اللهم ألّف بين قلوبهم وأنزل عليهم السكينة والهدوء في دخلتهم
اللهم ارزقهم الحلال الطيب الذي ترضى عنهم به يا رب العالمين
اللهم ارزقهم طيب المعاملة والحب والرومنسية والصدق
اللهم أبعد الشيطان والغيرة والحسد والنظر إلى ما لم يحلل الله
اللهم اغفر لهم برضاك عليهم
اللهم اغفرلهم برضا أهلهم عليهم
اللهم ارزقهم أطفالاَ يحفظون القرءان ويطيعوك ويطيعوهم
اللهم أبعدهم عن ذلات الدنيا وأهوائها
اللهم امين



p/s : Minta maaf pada teman-teman, jika saya tak dapat hadir ke walimatul urus kalian pada hari yang telah ditetapkan tu...mungkin ada masyaqqoh atau lain-lain.

Thursday, August 18, 2011

ربانية لا رمضانية



Pensyariatan berpuasa secara umumnya telah berlaku pada nabi-nabi yang terdahulu lagi. Cuma secara khususnya adalah berpuasa penuh di bulan Ramadhan.

Hukum berpuasa di bulan Ramadhan adalah Fardhu Ain ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w yang mukallaf dan berada di bulan Ramadhan sahaja.

Berpuasa adalah satu sebab manusia itu dapat mendekatkan dirinya kepada Allah. Oleh kerana itulah, amalan berpuasa ini telahpun diperkenalkan oleh nabi-nabi yang terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w kepada kaumnya.

Mengambil 'sebab' untuk beribadah adalah satu ketaatan. Manakala bergantung pada 'sebab' dalam beribadah adalah kemaksiatan. !!

Kisah Seorang anak kecik yang sangat suka makan gula-gula.

Pada suatu hari dia berjalan bersama ayahnya lalu terjumpa dengan satu gerai gula-gula. Dia menarik tangan ayahnya dan minta dibelikan gula-gula itu. Lalu si ayah mengizinkan untuk membelikannya tetapi bersyarat. Si anak yang kecil ini perlu mengira dari satu sampai sepuluh. Sesudah kiraannya di depan tuan gerai itu tadi, si ayah terus membelikan gula-gula untuknya.

Keesokan harinya, si anak itu terasa ingin makan gula-gula lagi. Tanpa berfikir panjang dia terus ke gerai semalam itu untuk mendapatkan gula-gula. Setelah sampai, dia mengangkat kedua belah tangannya lalu mengira dari satu sehingga sepuluh. Kemuadian, tuan gerai tersebut memujinya, "bagus kamu wahai anak". Si anak itu sekali lagi membuat kiraannya dengan nada yang lebih tinggi. Kemudian balas tuan gerai, "ya..betul dah tu". Sekali lagi anak itu memulakan kembali kiraannya seraya bertanya, "mana gula-gulaku?". Tuan gerai itu tersenyum lalu berkata, " aku berikan kamu gula-gula semalam itu bukan kerana kiraan kamu itu, tetapi kerana ayah kamu yang bayar harga gula-gula itu, kamu mengira itu hanyalah untuk memuaskan hati ayahmu sahaja."

Gula-gula itu adalah ganjaran Allah kepada orang-orang yang memenuhi segala suruhannya. Mengira itu adalah amal ibadah. Si ayah itu Allah yang Maha Memberi. Si anak itu adalah si anak yang selalu berhajatkan sesuatu. Maha suci Allah daripada segala perumpamaan. Sesungguhnya bagi Allah adalah perumpamaan yang paling agong.!!

Manusia tidak akan mampu mendapat ganjaran Allah Taala dengan hanya semata-mata bergantung pada amal ibadah yang dikerjakannya. Kerana sepatutnya dia menjadikan amal ibadah yang dikerjakan itu sebagai sebab untuk dia mendapat perkenan dan keredhaan Allah. Sebagaimana si anak itu tidak akan dapat gula-gulanya hanya dengan kiraannya itu, tetapi dia perlu meminta terlebih dahulu dari ayahnya untuk membelikan gullu-gula itu untuknya.


Setiap amal ibadah itu ada keistimewaannya yang tersendiri. Begitulah juga amalan berpuasa. Ia satu-satunya ibadah yang akan mendapat penilaian secara langsung daripada Allah. "Sesungguhnya puasa itu untuk AKU dan AKU yang akan memberikan ganjarannya".

Selain itu Allah juga menawarkan satu pintu syurga khas buat orang-orang yang berpuasa. Apabila mereka masuk, pintu tersebut akan terus ditutup. Orang yang tidak berpuasa akan terlepas dari keistimewaan-keistimewaan tersebut.

Namun begitu, berpuasa juga masih lagi dianggap satu amal ibadah yang mempunyai konsep dan matlamat yang sama dengan amalan-amalan dalam islam yang lain . Iaitu IYYAKA NA'BUDU WA IYYAKA NASTA'IN. Untuk menghambakan diri pada Allah Taala.

Jika mahu dibanding-bandingkan pula dengan ibadah-ibadah lain, masih ada ibadah yang lebih afdhal berbanding dengan puasa ini. Satu-satunya adalah SOLAT. Jika seorang muslim itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, maka tiada erti bagi puasanya. Kerana Solat adalah adalah tunjang bagi setiap amalan seorang muslim dan juga tiang bagi agamanya.

Realiti puasa Ramadhan masa kini.

Bulan Ramadhan adalah bulan 'peluang' untuk muslimin. Tidak kiralah apa profesionnya sekali pun, peluang itu tetap ada.

Bagi orang yang mahukan diet dan mengurangkan berat badan dan saiz badan. Dia menjadikan puasanya sebagai satu peluang baginya untuk berdiet. Salah ke?? Tidak salah kerana Nabi telah berpesan kepada kita "berpuasalah kamu nescaya kamu akan mendapat kesihatan".

Jika 'diet' adalah alasan untuk kita berpuasa, kita khuatir apabila sampai ke penghujung Ramadhan berat badan tidak turun-turun juga atau saiz badan tidak berubah juga...kita akan memberontak dan kesannya Ramadhan tahun depan kita tidak lagi mahu berpuasa !! Rugi siapa??

Bagi orang yang berpuasa untuk menambah simpanan kewangannya. Dia menjadikan bulan puasa sebagai bulan untuk berjimat cermat. Tidak boros dalam berbelanja agar simpanan dari duit gajinya meningkat dengan cepat. Salah ke ?? Tidak salah kerana berjumat cermat adalah amalan murni dalam islam. Selain itu kita akan terdorong untuk menjauhi sifat membazir.

Jika itulah alasan untuk kita berpuasa, kita juga khuatir apabila kita sudah dikurniakan harta yang banyak, kita akan lupa untuk berpuasa di bulan Ramadhan.

Bagi orang yang selalu menghidupkan malam-malamnya dengan solat dan juga zikir hanya di bulan Ramadhan. Mereka akan bersungguh-sungguh dengan zikir dan solatnya itu lebih-lebih lagi di hujung-hujung Ramadhan ini. Salah ke ?? Tidak salah kerana menghidupkan malam-malam terakhir di bulan Ramadhan adalah amalan yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.


Jika bulan Ramadhanlah alasannya untuk dia berzikir dan bermunajat, kita khuatir, apalah nasib 11 bulan yang berbaki lagi itu...Masjid-masjid yang dipenuhi dengan jemaahnya pad abulan Ramadhan itu akan kembali lengang pada bulan-bulan berikutnya...Seolah-olah Allah itu hanya wujud di bulan Ramadhan saja untuk mereka selalu berzikir dan solat.!!! Na'uzubillah.....

Bagi orang yang gemar bersedekah di bulan Ramadhan. Mereka akan bersungguh mencari fakir miskin untuk disalurkan zakat dan sedekah mereka itu. Tidak cukup dengan orang-orang miskin itu, mereka juga mencari masjid-masjid dan sekolah-sekolah yang memerlukan sumbangan di bulan Ramadhan ini. Salah ke ?? Tidak salah kerana amalan bersedekah juga adalah antara amalan para salafus soleh.

Jika bulan Ramadhanlah alasannya untuk dia bersedekah, kita juga khuatir...apalah nasib orang-orang miskin itu setelah harta sedekah itu habis digunakan..Mereka harus mengikat perut kembalik untuk menunggu bulan Ramadhan yang akan datang. Dan projek-projek pembinaan masjid hanya berjalan pada tempoh yang berhampiran dengan bulan Ramadhan sahaja dan terbengkalai di bulan-bulan berikutnya.


Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadi Hamba Rabbaniyyah bukannya Hamba Ramadhaniyyah. !!


Wednesday, August 17, 2011

Jangan pilih Tebu, tapi pilihlah Teh tarik...




Sedar tak sedar...kita sudah berada di bahagian separuh yang terakhir dari Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah....

Bahagian yang padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Lailatul Qadr !!

Bahagian yang biasanya masjid-masjid dan surau-surau semakin lengang....

Pada saat ini Ramadhan semakin kurang mendapat sambutan oleh pengunjung-pengunjungnya..

Pada saat ini juga Bazar Ramadhan semakin meriah dan mendapat kunjungan muslimin dan muslimat...


Allahumma Barikna Fi Ramadhan....


Pada waktu ini, para atlet larian jarak jauh yang bijak akan mula mengorak langkah membuat pecutan untuk menamatkan lariannya.. Pada saat ini jugalah pengadil mula bersedia di garisan penamat untuk mencatat masa atlet terpantas. Penonton pula sudah mula menilai siapa yang bakal menang dan siapa yang bakal kalah.


Muslim yang bijak mesti bersedia untuk menutup tirai Ramadhan pada tahun ini dengan mempergandakan amalan sehariannya. Bacaan Al-Quran, zikir, munajat, solat sunat, iktikaf, bersedekah dan lain-lain. Mulakannya sekarang, bukan esok dan bukan lusa !!

Oleh itu, pilihlah kemanisan teh tarik berbanding kemanisan tebu. Kerana semakin ke hujung tebu itu, semakin tawar rasanya. Sebaliknya teh tarik. Semakin ke penghujung semakin 'cow'. =)

IMAN. Meter Iman manusia itu kadang menaik dan kadang menurun. Menaik dengan banyak melakukan amal ibadat pada Allah Taala. Menurun dengan melakukan maksiat padaNYA. Tekadlah! Bahawa mulai saat ini, pastikan meter Iman kita ini tidak akan turun lagi!!


Tiga perkara yang perlu diamalkan supaya kita akan dapat terus mengharungi 10 hari terakhir di bulan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Taala :

1) Perbanyakkan berdoa dan bermunajat pada Allah.

Nabi Muhammad s.a.w pernah menasihati Muaz, "Janganlah kamu sekali-kali meninggalkan doa selepas solatmu dengan doa berikut :
اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

Ya Allah, Kau bantulah aku dalam berzikir padaMu dan mensyukuriMu dan memperelokkan amal ibadah kepadaMu"

Kerana dengan berzikir jiwa akan menjadi tenang.
Dan jiwa yang tenang tidak akan mudah goyah dengan godaan-godaan hawa nafsu.

Mintalah dari Yang Maha Esa....agar dikurniakan ketaatan dan ketaqwaan padaNya. Kerana tiadalah Pemberi yang lebih agong berbanding Allah yang Maha Memberi Kurniaan.

Berharaplah pada Yang Maha Kaya ..agar dikekalkan kemanisan iman ini sehingga ke akhir hayat.

Ingatlah bahawa pada bulan puasa ini terdapat satu waktu yang tidak akan ditolak segala permintaan para hamba Allah. Iaitu ketika berbuka puasa.!!

"Dan tatkala hambaKu meminta daripadaKu, sesungguhnya Aku amatlah dekat (dengannya), diperkenankan segala permintaan orang yang meminta(berdoa)....."


2.
Jagalah Matamu, telingamu, dan mulutmu...


Penglihatan, pendengaran dan percakapan adalah antara nikmat terbesar yang manusia kecapi sehingga ke hari ini. Namun nikmat-nikmat tersebut sepatutnya sentiasa disyukuri.


"Dialah (ALLAH) yang telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu, sedang kamu tidak mengetahui sesuatupun, dan dijadikan untukmu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur "

"Sekiranya kamu bersyukur (terhadap nikmat-nikmat Allah), maka akan Aku tambahkan lagi untukmu..."

Cara mensyukuri segala nikmat pemberian Allah adalah dengan menggunakannya untuk beribadat dan menghambakan diri pada Yang Esa.

Berpalinglah dari melihat aurat dan benda yang kotor dan keji, jauhi dirimu dari mendengar lagu dan muzik yang melalaikan, peliharalah mulutmu dari umpatan, celaan dan fitnah terhadap orang-orang lain.

Nabi s.a.w apabila ditanya oleh srikandi baginda tatkala melihat baginda sering mendirikan solat sehingga lebam-lebam di kaki baginda, "Kenapa kamu masih masih teguh beribadah sedangkan kamu telah dijanjikan oleh Allah dengan syurga?" Maka jawab Nabi, "Adakah salah untuk aku menjadi hamba yang bersyukur?"

Oleh itu, gunalah nikmat-nikmat tersebut di jalan yang benar. Sekiranya kita bersungguh menjaga pancaindera tersebut dengan baik, nescaya Allah Taala akan menjaga hati dan jiwa kita daripada godaan syaitan. Apabila hati seorang hamba itu telah dijaga oleh Allah di dunia ini, maka syurgalah singgahsananya di akhirat kelak.

3. Menghadirkan hati dalam segenap amalan...


Khusyu' adalah intipati pada setiap amal ibadat kepada Allah. Khusyu' lahir daripada salah satu cabang proses tadabbur ataupun penghayatan yang tertinggi. Tadabbur pula adalah hasil dari gabungan zikir dan fikir.

Terutamanya di bulan Ramadhan ini.

Solat tarawih menjadi makanan rutin rohani umat Islam seluruh dunia. Ada yang 8 rakaat dan ada yang 20 rakaat. Namun berapa rakaatkah yang kita mampu menghadirkan khusyu' itu padanya...??

Tadarrus Al-Quran juga menjadi antara agenda utama masjid-masjid di seluruh dunia. Ada yang telah pun khatam 30 juz dan ada juga yang masih sedang mengejar khatam. Namum berapa mukasuratkah yang kita mampu alirkan air mata kerana memahaminya..??

'ikrimah merupakan antara sahabat Nabi yang sangat tinggi nilai tadabburnya terhadap al-Quran. Beliau telah mengalirkan air matanya sebelum sempat membaca ayat-ayatnya. Kerana beliau sedar akan hakikat 'kalamullah' itu. Tatkala beliau membelek lembaran mushaf al-Quran beliau terus mengalirkan air matanya sambil berkata "ini kata-kata Tuhanku...." Subhanallaaaah...!!


Yaa..benar..proses memahami dan menghayati al-Quran itu bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan juhud atau usaha yang gigih. Hari ini kita cuba memahaminya, tapi mungkin esok kita mampu menghayatinya...mungkin juga minggu depan...mungkin juga bulan depan..dan mungkin juga tahun depan....

Yang penting adalah usaha yang gigih dan niat yang bersih kerana Allah. Kerana firman Allah :

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا

"Dan orang-orang yang berusaha gigih di jalan kami, maka kami akan memberi petunjuk padanya di jalan kami."


Oleh itu, semoga dengan perkongsian ini dapat menambah sedikit semngat pembaca untuk lebih terus berhati-hati dalam menjalankan ibadah puasa terutamanya.

Rebutlah peluang 10 malam terakhir ini dengan kita lebih menghayati segenap amal ibadat yang kita lakukan di siang dan malam hari. Semoga penghujung Ramadhan tahun ini mampu menjadi bekal kepada kita untuk menempuh 11 bulan yang mendatang sementara munculnya Ramadhan sekali lagi.

"Sebaik-baik amalan adalah di penghujungnya."

Monday, August 8, 2011

Hamba datang merayu lagi...



Ya Allah....

Rahmat Mu meliputi seluruh ciptaanMu ini...

PengampunanMu lebih luas berbanding dosa-dosa yang telah ku lakukan...

Ampukanlah segala dosa-dosaku wahai Tuhan yang Maha Pengampun....

Aku bersyukur padaMu kerana tidak jemu-jemu mengurniakan padaku dengan nikmat-nikmatMu. Engkau berikan padaku kesihatan tubuh badan, Kau berikan aku kesenangan, Kau berikan aku rezeki, Kau berikan aku harta, Kau berikan aku keluarga, Kau tempatkan aku ditempat yang selamat..... Walaupun aku telah banyak melakukan maksiat terhadapMu...walaupun aku telah banyak ingkar pada suruhan dan laranganMu...Allaaaaah...

Apa akan terjadi padaku jika Engkau berpaling dariku walau sesaat....??! Sungguh celaka diri ini....!!

Terimalah aku Ya Allah !!

La ilaha illallah........Aku sangat malu padaMu wahai pemilik langit dan bumi ini...

Disaat aku melakukan maksiat padaMu...aku lupa.....ada dua malaikat sedang merekodnya untuk ditayangkan pada seluruh manusia di padang mahsyar kelak. Mereka berdua adalah utusanMu. Mereka amat taat padaMu. Mereka tidak pernah melakukan kesilapan dalam tugasannya.!!


Kini aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan....Ampunkan aku Ya Allah.....aku datang mengetuk pintuMu Ya Allah....aku datang merayu padaMu Ya Allah...aku datang mengaku kehinaanku ini di depanMu Ya Allah...!

Di saat aku merasakan bahawa hidup ini sudah tiada erti lagi....aku mendengar membisikkan pada telingaku mengatakan yang Engkau tidak pernah menutup pintu taubatMu itu sehingga ke hari Kiamat.

"Orang yang sentiasa mencari hidayah maka akan ditambahkan lagi padanya Hidayah"


Kini aku ingin bermusafir mencari hidayahMu Ya Hadi. Aku akan belayar mencari pintu taubatMu Ya Tawwab. Aku akan mendaki mencari keampunanMu Ya Ghaffar....

Namun musafirku ini ada tiga peringkatnya....


(MENGETAHUI
)


Aku mesti TAHU. Aku harus SEDAR akan segala hakikat tentang diriku ini....Aku hanyalah hamba ada Robbul Jalal dan aku akan dipaksa mengadapNya di hari Akhirat kelak. Aku hanya boleh hidup dalam waktu yang singkat di dunia ini. Aku akan berdiri keseorangan di hadapan Malikul Muluk tanpa teman atau perantara...! Allah..

Aku perlu tahu bahawa apabila aku dihadapkan padaMu. KAU akan mempersoaalkan daku :

"HambaKu....Ingatkah kamu pada hari itu, masa itu, dan tempat itu..? Engkau telah berselindung dari pandangan dan pendengaran manusia. Engkau berasa malu jika mereka dapat melihat perbuatan mu itu. Sedangkan kau telah melakukan sesuatu yang Aku benci dan aku larang...! Dimanakah kau meletakkan Aku pada saat itu ?! Kenapa engkau menganggap Aku lemah untuk melihat perbuatan mu itu?!

HambaKu...Kenapa engkau lebih malu pada makhluq2 Ku berbanding kau malu padaKu?! Kenapa kau lebih takut pada mereka berbanding Aku ?!

Aku telah menciptakan kau daripada engkau tiada...Aku memberi nikmat kepadamu ketika kau memerlukannya dan ketika kau tidak perlukannya....Aku telah muliakan kamu dengan kalimah LAAAAA ILAAAHA ILLALLAAAAH.....!! Aku mengizinkan pada ibumu untuk mengandungkanmu...Aku telah memberi kekuatan kepadamu ketika kau membesar...Aku membekalkan padamu dengan pelbagai rezeki.....

Kenapa engkau sanggup mengingkari suruhan dan laranganKu....?!"


Aku juga harus tahu bahawa segala gerak geriku telah dicatat oleh pesuruhMu. Apa yang aku lihat? Apa yang aku makan ? Apa yang aku fikirkan ? Apa yang aku tuturkan ? dan segala apa yang ku tontonkan pada manusia.....

Dari itu aku akan berpindah ke peringkat yang kedua.


(MERASAI)



Setelah aku tahu dan sedar segala hakikat-hakikat itu....aku patut rasa menyesal kerana maksiat yang telah ku lakukan itu..aku patut rasa rugi kerana telah meninggal banyak kebaikan yang sepatutnya aku kerjakan....

Aku malu pada Penciptaku yang sangat pemurah itu...aku patut rasa takut dan akur pada perintah Tuhanku...tatkala aku melakukan maksiat terhadapNya...Dia sajalah yang masih sudi memberi nikmat padaku, malah Dia telah memuliakan aku dengan mengutuskan dua malaikat untuk mengambil tahu perihal aku yang hina ni...Laa Ilaha Illallaah...!


Aku juga malu padaMu Ya Robbal Izzah.... di saat aku merasa diriku ini yang amat hina di sisi Mu...aku masih mahu meraih penghormatan dari manusia-manusia yang lain...kawan-kawanku yang jauh lebih baik dariku...adik-adikku yang jauh lebih suci dariku.....Allaaah...!!


(TEKAD MELAKUKAN)

Setelah aku benar-benar yakin dengan 'pengetahuan' ku itu...setelah ku yakin dengan 'perasaan' ku itu...aku mesti berazam untuk bertindak..!

Aku harus berazam untuk bertaubat dan kembali pada Yang Maha Pengampun itu,..aku harus berazam untuk menghentikan segala amal maksiat dulu itu...aku harus berazam untuk tidak mengulanginya lagi...aku harus banyakkan zikir-zikirku padaMu..

ASTAGHFIRULLAH AZIM....WA ATUBU ILAIH....

Aku perlu mengalirkan air mata keinsafanku padaMu Ya Rob...aku perlu lebih berhati-hati dengan godaan dan ujian syaitan itu supaya aku tidak kembali pada maksiat lampauku itu...


Aku pohon padaMu Ya Allah...ampunlah segala dosa-dosaku ini... kerana tiada yang selain engkau yang sudi menerima taubat ku ini....kuatkan iman ku untuk tidak lagi berpaling pada hidayahMu.

Keran aku tahu ..sedasyat-dasyat murkamu padaku adalah apabila Engkau berpaling dari aku...Nauzubillah min zalik....


Sunday, August 7, 2011

Zikir + Fikir = Tadabbur (Tazkirah Ramadhan 1)


Zikir + Fikir = Tadabbur

Himpunan mingguan terbesar bagi orang muslim adalah himpunan Jumaat. Muslimin berkumpul pada hari jumaat untuk menunaikan ibadah solat fardhu jumaat. Antara agenda utama perhimpunan tersebut adalah untuk memberi peringatan kepada sesama umat islam agar tidak terlalu jauh dari agamanya. Dalam solatnya pula disunatkan pada imam membaca dua surah iaitu surah al a'la dan surah al ghasyiah. Kerana padanya terdapat suruhan untuk memberi peringatan kepada manusia.

فذكّر إن نفعت الذكرى

فذكّر إنما أنت مذكر

Kemudian tidak cukup dengan himpunan mingguan itu, disyariatkan pula himpunan bulanan iaitu di Madrasah Ramadhaniyyah.

Satu Madrasah Khas dari Allah Taala yang tidak sekali-kali mampu disaingi oleh Madrasah-madrasah ciptaan manusia. Kerana padanya disyariatkan ibadah Puasa yang mana ia merupakan satu-satunya ibadah yang akan dinilai dan diberi ganjaran secara langsung daripada Allah Taala.

Padanya juga diturunkan al-Quran yang menjadi simbolik kepada LAILATUL QADR. Al-Quran yang nama lainnya adalah az ZIKRU. Diambil dari sifatnya yang sarat dengan kandungan yang memberi peringatan tentang sengsara Neraka dan bahagia Syurga.

Rasulullah s.a.w mengiktiran kelebihan dua himpunan besar muslim ini dengan sabda baginda :

الصلوات الخمس والجمعة الى الجمعة ورمضان الى رمضان والعمرة الى العمرة كفارة لما بينهن

"Terdapat waktu penghapusan dosa-dosa, antara solat-solat lima waktu, antara dua Jumaat, antara dua Ramadhan dan antara dua umrah" (mafhum hadis)


Maka hari ini kita telah sama-sama diizinkan oleh Allah s.w.t untuk sampai kepada bulan Ramadhan al Mubarak. Maka bersyukurlah kepada Allah dengan lebih kerap mengingatiNya.

Terdapat dua petanda yang Allah Taala turunkan kepada kita untuk kita lebih mudah dan kerap mengingatNYA;

  • pertama : Alam (langit, bumi dan apa yang ada di antaranya).
  • kedua : Al-Quran.


يأيها الذين ءامنوا اذكروا الله ذكراً كثيراً

"Wahai orang-orang yang beriman! Berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang banyak"

BerZIKIR adalah amalan para rasul-rasul, nabi-nabi, wali-wali dan hamba-hamba Allah yang soleh. Melalui ayat quran di atas sudah cukup menggambarkan 'suruhan' supaya orang-orang beriman berzikir padaNya (dengan menggunakan fe'el Amr/ Kata suruh).

Rasulullah s.a.w adalah insan yang paling kuat berzikir pada Allah. Baginda juga adalah orang yang paling alim dan faqih dalam memahami suruhan dan larangan Allah Taala. Oleh itu baginda telah memberi perumpamaan dalam sabdanya :

مثل الذي يذكر ربه والذي لا يذكر ربه مثل الحي والميت

"Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang HIDUP dan MATI"


'Berzikir' perlu melibatkan dua kurniaan besar yang telah diberikan kepada manusia : Akal dan Lisan.

Berzikir menggunakan lisan lawannya kita 'senyap'. Manakala berzikir menggunakan akal lawannya 'lupa'. Menggabungkan kedua-dua aspek tersebut akan lebih mendorong ahli zikir dalam menghasilkan amalan zikirnya yang sangat berkualiti. Jika tidak, ibarat orang bisu atau orang bodoh yang berzikir.!


Sepakat ulamak mengatakan bahawa 'sebaik-baik zikir adalah membaca al-Quran'. Kerana kata Nabi s.a.w "setiap huruf yang dibaca itu akan dilipat gandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda".

Namun Nabi juga pernah bersabda "sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan Mengajarkannya". Oleh itu, matlamat sebenar kita membaca al-Quran bukan sekadar mahu mempelajarinya malah kita harus mengajarkan dan menyampaikannya.

Oleh itu, 'sebaik-baik zikir yang dimaksudkan adalah al-QUran' itu bukan semata-mata dengan mebacanya sahaja, tetapi dengan kita memahami intipatinya sekali. Kerana mustahil kita mahu menyampaikan al-Quran tanpa kita memahaminya terlebih dahulu..!!

Yaa..benar, mebaca al-Quran itu adalah ZIKIR, namun dia perlu disertakan sekali dengan FIKIR. Kerana gabungan antara ZIKIR dan FIKIR itu akan membuahkan suatu yang lebih hebat iaitu TADABBUR..!!

Firman Allah Taala :

أفلا يتدبرون القرءان أم على قلوب أقفالها

"Tidakkah kamu bertadabbur (menghayati kandungan) dengannya?? Ataupun barangkali terdapat kunci pada hati kamu!!"

Kenapa kita tidak mentadabbur setiap ayat-ayat al-Quran itu??

Bukan kerana kita tiada ilmu nahu atau ilmu sorof atau ilmu balaghah atau limu-ilmu hadis atau kerana al-Quran itu terlalu tinggi bahasanya sehingga kita tidak mampu untuk memahaminya atau sebagainya....tapi kerana ada sesuatu yang mengunci hati kita daripada bertadabbur denganya..!

Oleh itu...janganlah kerana semata-mata target untuk menghabiskan bacaan al-Quran 30 juz di bulan Ramadhan ini, kita tidak sempat untuk memahami al-Quran.. Mungkin juga 'target'menjadi satu daripada kunci-kunci di hati kita !

Jadikan bulan Ramadhan sebagai satu karnival untuk kita beramal.


(KAREEM = Karnival Amal Ramadhan El-Mubarak)