Tuesday, August 28, 2012

Nawaitu bernikah.....


Nawaitu berkahwin untuk mendapat cinta Allah, anawaitu mencintai Rasulullah dengan menyahut saranannya “berkahwinlah dan perbanyakkan zuriatmu sesungguhnya aku sangat berbangga kalian wahai umatku di hari akhirat”,


nawaitu dengan perkahwinan ini  bersama apa yang telah aku lakukan melalui perkataan dan perbuatan ini hanyalah mengharap keberkatan dan doa anak-anak soleh selepasku, atau  beroleh syafaat jika kematiannya sebelumku (di waktu kecilnya),…..

Nawaitu berkahwin untuk melindungi diri dari syaitan dan bisikan kemusnahannya,  untuk menundukkan pandangan dan mengurangkan keraguan dalam diri, nawaitu menjaga kehormatan diri dari sebarang kemungkaran,…

Nawaitu berkahwin untuk mententeramkan roh dan jiwa dengan ketenangannya melalui duduk bersama-sama, pandang memandang, bergurau senda , agar hatiku sentiasa segar dan bertenaga untuk beribadah padaNya, nawaitu meluangkan masa untuk menyibukkan diri membantu isteriku di dapur memasak, menyapu , mengemas, dan menjaga si cahaya mata…

Nawaitu berkahwin untuk melatih diri lebih berdikari dan matang dalam penjagaanku dan kepimpinan ku..dan berusaha bersungguh-sungguh menjaga akhlak isteriku, menjaganya dari sebarang bahaya dan sakit, bersunguh-sungguh memperbaiki kesilapannya dan memimpinnya ke jalan yang benar, mencari yang halal untuknya, dan mentarbiah anak-anak dengan sentiasa memohon pemeliharaan dari Ar-Rahman Ar-Rahim.

Nawaitu ini semua hanya kerana Allah Taala.

Semoga nawaitu berkahwin seperti niat-niat hambaMu yang saleh dan ulama’ yang beramal.
Allah dampingilah aku seperti Engkau mendampingi mereka, tolonglah aku seperti engkau telah menolong mereka, cukupkan bagiku dengan apa yang telah engkau kurniakan padaku, kabulkan permintaanku, perelokkan padaku dari semua sudut dengan kasih sayang dan kemuliaanMu, sihatkan daku, ampunkan daku, rahmatilah daku,redhalah padaku, masukkan daku dalam syurgaMu, jauhi daku dari nerakaMu …..

Wahai Allah, jadikan aku dalam perkahwinan ini penuh dengan pertolongan, keberkatan, keselamatan dan selamatkan daku dari kesibukan duniaku dari mengingatiMu, jangan Kau palingkan daku dari Taat padaMu, tempatkan daku dalam kesempurnaan dan keampunanMu,…

Wahai Allah, pergerakan dan diamku adalah perjanjianku denganMu, maka peliharalah daku di mana saja aku berada, lantiklah daku seperti mana engkau telah melantik hamba-hambaMu yang soleh…
Wahai Allah, hidupkan daku dan mereka di atas landasan al-Quran dan al-Sunnah..aku mohon padaMu penghujung yang baik dan kesihatan tubuh badan, rezekikan pada ku dengan amal ibadah yang mendekatkan diriku padaMu…selawat dan salam atas junjungan mulia Muhammad  S.A.W…dan segala pujian itu hanya untukNya….