Sunday, July 3, 2011

JUS MASA buat sahabat...


Selamat bercuti buat mahasiswa IPTA yang sedang bercuti panjang dan juga tidak lupa buat sebahagian sahabat-sahabat IPTS yang juga sedang bercuti. Yang paling utama adalah buat sahabat-sahabat graduan dalam dan luar negara yang baru mahupun yang sudah lama.

Mungkin kini anda sudah bekerja atau berniaga, atau sudah pun menyambung pengajian lagi, atau masih sibuk dan pening dengan borang-borang dan resumenya, atau masih goyang kaki di rumah, atau sedang menunggu panggilan temuduga, atau sedang menunggu ilham menulis thesis, atau mungkin juga anda sedang pening memilih tarikh yang sesuai dan persediaan yang cukup untuk 'buat masjid'....=)

Apapun keadaan sahabat-sahabat sekalian, saya doakan kalian bahagian dunia akhirat dan dipermudahkan segala urusan... Amiiiiin...

MASA

Walaupun di mana kita berada, kita tidak akan boleh lari dari MASA. Samada kita mengatur jadual mengikut masa yang ada, atau kita hanya membiarkan masa itu mengatur kita.

MASA adalah modal yang diberikan oleh Allah Taala kepada setiap hambaNYA. Kadar modal yang dibekalkan adalah sama untuk setiap manusia (24jam). Jika ia digunakan dan diniagakan dengan dengan cara yang baik dan berstrategi, maka dia akan untung dan jika sebaliknya maka dia akan rugi.

Bercakap tentang Untung dan Rugi ini, ingatkah kita bahawa Allah Taala pernah bersumpah dengan MASA di dalam al-quran ??

والعصر إن الإنسان لفي خسر

"Demi Masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian" (surah al-'asr)

'asru dalam bahasa arab bermaksud "masa", selain itu ia juga bermaksud "memerah sesuatu sehingga mengeluarkan hasil". (Mukjam Maqoyis oleh Ibn Faris).

Maksud tersebut lebih jelas untuk difahami dalam firman Allah Taala dalam surah an Naba' ayat 14 :

وأنزلنا من المعصرات ماءًا ثجاجاً
"Dan Kami telah turunkan daripada awan-awan itu air hujan yang lebat"

Kerana itu juga pecahan daripada perkataan عَصَرَ ini juga ialah perkataan عَصِير iaitu jus buah-buahan. Berkonsepkan perahan. Jus buah-buahan yang dihasilkan dengan perahan buah.

Oleh itu, tahukah anda, kenapa Allah bersumpah dengan MASA dengan mengatakan bahawa "manusia itu berada dalam kerugian"?

Kerana tidak ramai manusia yang berminat untuk 'memerah' masanya yang ada semata-mata untuk melakukan amal soleh dan mencapai keredharan Allah Taala. Oleh itu, Allah menegaskan bahawa sesungguhnya manusia itu sedang dalam kerugian.

Adakah semua manusia itu sedang kerugian??

إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan tolong-menolong dengan kebenaran dan tolong-menolong dengan kesabaran"

Allah Taala itu Maha Adil. DIA tidak sekali-kali menzalimi hamba-hambaNYA tetapi manusia itu yang selalu menzalimi dirinya sendiri dengan tidak mahu beriman padaNYA.

Tidak semua manusia yang akan rugi. Empat syarat-syarat yang perlu ada pada manusia agar tidak tergolong dalam kalangan mereka yang kerugian :

BERIMAN, BERAMAL SOLEH, BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN, BERPESAN-PESAN DENGAN KESABARAN.

Pertama ialah beriman. Orang yang beriman adalah 'orang yang percaya dengan yakin'. Ruang lingkup 'percaya' itu sangat luas. Tetapi Islam telah menetapkan asas kepercayaan itu kepada 6 rukun Iman.

Tahap kepercayaan atau iman yang paling tinggi adalah percayakan sesuatu yang tidak mampu dilihat dengan mata kita. Contoh manusia yang paling tinggi imannya ialah Saidina Abu Bakar As Siddiq. Jika dibandingkan dengan iman seluruh iman umat manusia di seluruh dunia ini, nescaya iman Saidina Abu Bakar lebih tinggi.

Tatkala tersebar peristiwa Isra' Mi'raj Nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir quraisy bertanya pada Abu Bakar tentang peristiwa tersebut untuk menguji keimanannya pada Rasulullah sedangkan beliau sendiri tidak melihat Nabi di isra' dan dimikrajkan. Namun Saidina Abu Bakar membenarkan saja peristiwa tersebut kerana dia sangat beriman dengan Allah dan RasulNya.

IMAN adalah asas pada setiap sesuatu. Ia adalah asas yang akan mendorong segala kehendak manusia. Iman adalah penggerak dan pendorong manusia untuk 'memerah' masa untuk mendapatkan keuntungannya. Dengan kata lain, orang yang tidak beriman tidak tahu untuk menguruskan masanya, sekaligus dia akan rugi buat selamanya.

Yaa...mungkin juga mereka belum rugi di dunia, tetapi mereka akan rugi dan menanggung penyesalan itu di hari akhirat kelak.


Kedua beramal soleh. Amal Soleh adalah segala perlakuan (perbuatan dan percakapan) yang dituntut oleh syarak sahaja. Dan amal soleh ini hendaklah dilakukan pada bila-bila masa sahaja dan berterusan. Allah Taala telah memberi isyarat tersebut dalam ayat tadi dengan menggunakan perkataan عملوا bukannya فعلوا walaupun kedua-dua ada persamaan. Penggunaan perkataan Fa'ala adalah pada perbuatan yang lebih khusus perbuatan sahaja dan hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu secara berkala seperti menunaikan zakat.

Merujuk pada firman Allah Taala :

والذين هم للزكاة فاعلون
"Dan mereka yang menunaikan zakat"

Amal Soleh ini adalah hasil daripada syarat pertama iaitu berIMAN. Contohnya, apabila manusia beriman dengan hari pembalasan, syurga dan neraka, mereka akan berlumba-lumba untuk mengerjakan amal soleh dengan menggunakan sebaiknya masa yang ada. Mereka tidak lagi mahu melepak, borak kosong, merayau di kota-kota tanpa tujuan, menghabiskan duit dengan hiburan tanpa manfaat, atau menghabiskan masa dengan tidur sahaja.

Namun, satu lagi syarat yang tidak kurang pentingnya sebelum kita mahu beramal, iaitu ILMU. Mana mungkin kita beramal tanpa berilmu. Apa yang hendak diamalkan?

Realiti mahasiswa kita hari ini, banyak belajar dan menuntut ilmu tetapi lupa untuk beramal. Kombinasi ILMU dan AMAL yang baik adalah kombinasi yang seiring. Tidak hanya mengejar amalan tanpa menuntut ilmu dan tidak juga hanya mencari ilmu tanpa beramal.

Saya pernah ditanya, "Ustaz, kalaulah beramal itu selepas berilmu, boleh tak saya belajar sampai PhD dulu, baru saya beramal?" Jawab saya, "Kalaulah awak tahu bila ajal awak datang, boleh lah!"

Ketiga berpesan-pesan dengan kebenaran. Namun sebelum kita berpesan-pesan dengan kebenaran itu, kita perlu mengetahui terlebih dahulu, yang manakah yang benar. Yang benar itu hanyalah ISLAM!! Oleh itu, kita bertanggungjawab untuk saling nasihat-menasihati antara satu sama lain ke arah ISLAM. Digunakan perkataan تواصوا dengan wazan تفاعلوا yang membawa maksud 'saling'.

Menghayati Islam bukan hanya untuk diri sendiri sahaja bahkan kita seharusnya saling ingat-mengingati antara satu sama lain demi Islam. Bagaimana? Seperti menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid atau di rumah, menghadiri majlis-majlis muzakarah, dan menghadiri program-program kemasyarakatan. Kerana syurga itu diciptakan bukan untuk anda seorang sahaja!

Kita mengaku bahawa Islam itulah kebenarannya, tapi kenapa?!

Adakah kerana mak dan ayah kita orang Islam? Atau kerana semua ustaz-ustaz kita Islam? Atau Nabi Muhammad itu beragama Islam?

Tidak! Kita kenal dan yakin dengan Islam bukan hanya dengan ikut-ikutan sahaja, tetapi kerana kita ada ILMU tentang Islam yang telah disampaikan oleh Ibu bapa kita, ustaz-ustaz kita, dan Rasulullah s.a.w.

Kita akan untung sekiranya kita saling berpesan dengan kebenaran yang nyata itu!

Semestinya dalam menyampaikan ayat-ayat suci dan ajaran-ajaran yang benar itu, banyak kekangan dan cabarannya. Oleh itu, syarat terakhir untuk memastikan kita tidak rugi adalah :

Keempat berpesan-pesan dengan kesabaran. Hikmah disyaratkan sabar ini adalah untuk menguatkan keazaman manusia untuk terus tolong-menolong ke arah kebenaran. Setelah manusia ditimpa dengan cabaran dan masalah, maka ubatnya adalah sabar.

Kesabaran yang ditonjolkan oleh Allah Taala dalam al-quran dalam kisah Nabi Musa bersama Khidhir dan juga kisah Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail. Sabar Nabi Musa tidak berjaya, tetapi sabar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berjaya. Kuncinya adalah 'saling' bukannya berseorangan.

Sekali lagi kita akan untung jika sama-sama bersabar dalam segala bentuk ujian dan permasalahan di dunia ini.

Kesimpulan

Iman : Syarat dan persediaan utama dalam pengurusan masa yang baik.

Amal Soleh : Merupakan hasil kepada Iman dan pengurusan masa yang baik.

Berpesan-pesan dengan kebenaran : Mencari kebenaran, mempelajarinya, bermuzakarah tentangnya, mengajarkannya, dan berpesan-pesan dengannya.

Berpesan-pesan dengan kesabaran : Perjanjian dan persepakatan antara manusia untuk mengekalkan kalimah kebenaran dengan cara berpesan-pesan dengan kesabaran.

Akhirnya, hargailah masa yang telah dianugerahkan ini dengan memanfaatkannya seoptima mungkin. Walau di mana kita berada, kita hanya ada dua pilihan, samada mahu untung atau mahu rugi. Hanya anda yang mengetahui pilihan itu !

Kini di hadapan kita MASA, perahlah ia untuk mendapatkan hasilnya... selamat berkhidmat untuk ISLAM ....!