Wednesday, August 17, 2011

Jangan pilih Tebu, tapi pilihlah Teh tarik...




Sedar tak sedar...kita sudah berada di bahagian separuh yang terakhir dari Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah....

Bahagian yang padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Lailatul Qadr !!

Bahagian yang biasanya masjid-masjid dan surau-surau semakin lengang....

Pada saat ini Ramadhan semakin kurang mendapat sambutan oleh pengunjung-pengunjungnya..

Pada saat ini juga Bazar Ramadhan semakin meriah dan mendapat kunjungan muslimin dan muslimat...


Allahumma Barikna Fi Ramadhan....


Pada waktu ini, para atlet larian jarak jauh yang bijak akan mula mengorak langkah membuat pecutan untuk menamatkan lariannya.. Pada saat ini jugalah pengadil mula bersedia di garisan penamat untuk mencatat masa atlet terpantas. Penonton pula sudah mula menilai siapa yang bakal menang dan siapa yang bakal kalah.


Muslim yang bijak mesti bersedia untuk menutup tirai Ramadhan pada tahun ini dengan mempergandakan amalan sehariannya. Bacaan Al-Quran, zikir, munajat, solat sunat, iktikaf, bersedekah dan lain-lain. Mulakannya sekarang, bukan esok dan bukan lusa !!

Oleh itu, pilihlah kemanisan teh tarik berbanding kemanisan tebu. Kerana semakin ke hujung tebu itu, semakin tawar rasanya. Sebaliknya teh tarik. Semakin ke penghujung semakin 'cow'. =)

IMAN. Meter Iman manusia itu kadang menaik dan kadang menurun. Menaik dengan banyak melakukan amal ibadat pada Allah Taala. Menurun dengan melakukan maksiat padaNYA. Tekadlah! Bahawa mulai saat ini, pastikan meter Iman kita ini tidak akan turun lagi!!


Tiga perkara yang perlu diamalkan supaya kita akan dapat terus mengharungi 10 hari terakhir di bulan Ramadhan ini dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Taala :

1) Perbanyakkan berdoa dan bermunajat pada Allah.

Nabi Muhammad s.a.w pernah menasihati Muaz, "Janganlah kamu sekali-kali meninggalkan doa selepas solatmu dengan doa berikut :
اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

Ya Allah, Kau bantulah aku dalam berzikir padaMu dan mensyukuriMu dan memperelokkan amal ibadah kepadaMu"

Kerana dengan berzikir jiwa akan menjadi tenang.
Dan jiwa yang tenang tidak akan mudah goyah dengan godaan-godaan hawa nafsu.

Mintalah dari Yang Maha Esa....agar dikurniakan ketaatan dan ketaqwaan padaNya. Kerana tiadalah Pemberi yang lebih agong berbanding Allah yang Maha Memberi Kurniaan.

Berharaplah pada Yang Maha Kaya ..agar dikekalkan kemanisan iman ini sehingga ke akhir hayat.

Ingatlah bahawa pada bulan puasa ini terdapat satu waktu yang tidak akan ditolak segala permintaan para hamba Allah. Iaitu ketika berbuka puasa.!!

"Dan tatkala hambaKu meminta daripadaKu, sesungguhnya Aku amatlah dekat (dengannya), diperkenankan segala permintaan orang yang meminta(berdoa)....."


2.
Jagalah Matamu, telingamu, dan mulutmu...


Penglihatan, pendengaran dan percakapan adalah antara nikmat terbesar yang manusia kecapi sehingga ke hari ini. Namun nikmat-nikmat tersebut sepatutnya sentiasa disyukuri.


"Dialah (ALLAH) yang telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu, sedang kamu tidak mengetahui sesuatupun, dan dijadikan untukmu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur "

"Sekiranya kamu bersyukur (terhadap nikmat-nikmat Allah), maka akan Aku tambahkan lagi untukmu..."

Cara mensyukuri segala nikmat pemberian Allah adalah dengan menggunakannya untuk beribadat dan menghambakan diri pada Yang Esa.

Berpalinglah dari melihat aurat dan benda yang kotor dan keji, jauhi dirimu dari mendengar lagu dan muzik yang melalaikan, peliharalah mulutmu dari umpatan, celaan dan fitnah terhadap orang-orang lain.

Nabi s.a.w apabila ditanya oleh srikandi baginda tatkala melihat baginda sering mendirikan solat sehingga lebam-lebam di kaki baginda, "Kenapa kamu masih masih teguh beribadah sedangkan kamu telah dijanjikan oleh Allah dengan syurga?" Maka jawab Nabi, "Adakah salah untuk aku menjadi hamba yang bersyukur?"

Oleh itu, gunalah nikmat-nikmat tersebut di jalan yang benar. Sekiranya kita bersungguh menjaga pancaindera tersebut dengan baik, nescaya Allah Taala akan menjaga hati dan jiwa kita daripada godaan syaitan. Apabila hati seorang hamba itu telah dijaga oleh Allah di dunia ini, maka syurgalah singgahsananya di akhirat kelak.

3. Menghadirkan hati dalam segenap amalan...


Khusyu' adalah intipati pada setiap amal ibadat kepada Allah. Khusyu' lahir daripada salah satu cabang proses tadabbur ataupun penghayatan yang tertinggi. Tadabbur pula adalah hasil dari gabungan zikir dan fikir.

Terutamanya di bulan Ramadhan ini.

Solat tarawih menjadi makanan rutin rohani umat Islam seluruh dunia. Ada yang 8 rakaat dan ada yang 20 rakaat. Namun berapa rakaatkah yang kita mampu menghadirkan khusyu' itu padanya...??

Tadarrus Al-Quran juga menjadi antara agenda utama masjid-masjid di seluruh dunia. Ada yang telah pun khatam 30 juz dan ada juga yang masih sedang mengejar khatam. Namum berapa mukasuratkah yang kita mampu alirkan air mata kerana memahaminya..??

'ikrimah merupakan antara sahabat Nabi yang sangat tinggi nilai tadabburnya terhadap al-Quran. Beliau telah mengalirkan air matanya sebelum sempat membaca ayat-ayatnya. Kerana beliau sedar akan hakikat 'kalamullah' itu. Tatkala beliau membelek lembaran mushaf al-Quran beliau terus mengalirkan air matanya sambil berkata "ini kata-kata Tuhanku...." Subhanallaaaah...!!


Yaa..benar..proses memahami dan menghayati al-Quran itu bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan juhud atau usaha yang gigih. Hari ini kita cuba memahaminya, tapi mungkin esok kita mampu menghayatinya...mungkin juga minggu depan...mungkin juga bulan depan..dan mungkin juga tahun depan....

Yang penting adalah usaha yang gigih dan niat yang bersih kerana Allah. Kerana firman Allah :

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا

"Dan orang-orang yang berusaha gigih di jalan kami, maka kami akan memberi petunjuk padanya di jalan kami."


Oleh itu, semoga dengan perkongsian ini dapat menambah sedikit semngat pembaca untuk lebih terus berhati-hati dalam menjalankan ibadah puasa terutamanya.

Rebutlah peluang 10 malam terakhir ini dengan kita lebih menghayati segenap amal ibadat yang kita lakukan di siang dan malam hari. Semoga penghujung Ramadhan tahun ini mampu menjadi bekal kepada kita untuk menempuh 11 bulan yang mendatang sementara munculnya Ramadhan sekali lagi.

"Sebaik-baik amalan adalah di penghujungnya."

No comments: