Friday, October 28, 2011

ISLAM bukan untuk dipeluk......


ISLAM merupakan satu dari agama-agama SAMAWI.

AGAMA ialah kepercayaan manusia terhadap sesuatu. Istilah "orang kuat agama" sering dinisbahkan kepada orang yang tinggi kepercayaan dan amalannya terhadap ajaran agamanya. Oleh itu, jika ingin dikira bilangan agama yang pernah wujud di atas muka bumi ini, terlalulah banyak sehingga tidak terkira.

Yang membezakan antara agama-agama itu adalah sumbernya. Ada agama yang dikategorikan sebagai agama samawi dan ada yang bukan samawi. Dinamakan dengan agama 'samawi' kerana sumber agama itu adalah dari atas langit (wahyu) dan 'bukan samawi' pula adalah agama di bumi yang hanya rekaan manusia menurut logik akal dan hawa nafsu semata-mata.

Contoh agama samawi adalah agama Islam dan agama Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani). Golongan Yahudi yang pernah dipimpin oleh Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. dan golongan Nasrani yang pernah dipimpin oleh Nabi Isa a.s. Nabi-nabi tersebut memimpin kaum mereka berpandukan kitab (wahyu) yang telah diturunkan oleh Allah kepada mereka.

Contoh agama bukan samawi pula seperti agama hindu, anutan budha, kepercayaan tuhan-tuhan alam, kepercayaan kesaktian manusia, sembah patung dan lain-lain lagi. Agama-agama tersebut tiada sandarannya yang sah, bahkan hanya bersumberkan kepercayaan-kepercayaan ikut-ikutan daripada nenek moyang mereka sahaja.

Manakala agama ISLAM pula adalah satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah Taala pencipta alam semesta yang sebenarnya. Agama yang dibawa oleh manusia bernama Muhammad Bin Abdullah. Siapa yang percaya dengannya pasti akan berjaya selama-lamanya, dan siapa yang masih enggan mempercayainya akan terus rugi selama-lamanya.

KENAPA MANUSIA PERLUKAN AGAMA ?

Seperti yang kita telah ketahui, agama merupakan satu kepercayaan. Sedangkan naluri kehidupan manusia itu sememangnya sangat berhajat pada kepercayaan tertentu. Manusia yang hidup tanpa kepercayaan ibarat manusia yang 'mati'.

Disebabkan dunia ini bukan ciptaan manusia, maka manusia itu sendiri tidak tahu cara yang sebenarnya untuk hidup di dunia ini. Manusia akan sentiasa meraba dan mencari pencipta dunia untuk mendapatkan panduan hidup yang sebenar darinya.

Apabila berlakunya fenomena kilat berkabung, banjir melanda, tanah runtuh serta merta, hujan yang turun tidak menentu............maka pada masa itu manusia mula mengembara mencari Tuhannya dan mencari kepercayaannya (agama) untuk menenangkan jiwanya yang sedang ketakutan dan kebingungan itu.

Oleh itu, sebahagian kembara-kembara itu menghasilkan realiti yang kita dapat lihat pada hari ini. Agama yang menyembah tuhan langit kerana percaya bahawa hanya langit yang mampu memberi air munim kepada mereka dan kepada tumbuhan-tumbuhan mereka, menyembah tuhan matahari, menyembah dewa-dewa, menyembah pokok-pokok, menyembah manusia yang hebat-hebat dan lain-lain lagi. Sehinggakan seorang manusia sanggup bertuhankan Tuhan yang lebih dari satu.

Sedangkan Islam hanya menyeru manusia mempercayai keEsaan Allah Taala yang telah mencipta seluruh alam semesta ini dan mengatur fenomena-fenomena tersebut. Dan mempercayai kebenaran pesuruhNYA yang telah diutuskan untuk menghurai dan memperjelaskan tentang bukti-bukti keEsaanNYA.


APA BUKTI AKU SEORANG MUSLIM ?

Indahnya Islam kerana telah meletakkan Islam di atas tiang-tiangnya. Pertamanya ialah 'Percaya dengan yakin bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah utusanNYA'. Seterusnya solat lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menunaikah haji pada yang berkemampuan.

Setiap tiang-tiang tersebut mempunyai hikmah dan kelebihannya yang tersendiri. Namun didahulukan dengan Syahadatain ( dua kalimah syahadah ) itu kerana ia adalah pintu utama bagi seorang manusia untuk bergelar Muslim dan seterusnya mendirikan tiang-tiang agamanya yang lain.

Namun, adakah dengan syahadatain sudah cukup untuk membuktikan bahawa aku seorang Muslim...??

Tidak kira bagaimana anda mengenal Islam, samada melalui ibubapa yang sudah islam, atau berkahwin dengan pasangan islam, atau tertarik dengan ajaran islam, atau kagum dengan kehebatan-kehebatan pahlawan Islam, atau tertarik dengan cara perdagangan islam, atau lain-lain alasan lagi.......anda wajib memahami Islam sebaik-baiknya setelah anda bergelar muslim.!!

Benar...tiada paksaan dalam beragama!! Tetapi setelah anda memilih Islam sebagai agama anda, bermakna anda telah rela hati untuk mematuhi tuntutan dan larangannya.

"Penuhi suruhan sekadar yang mampu, tinggalkan segala larangan serta merta".

Ya...bunyinya seperti kata-kata itu hanya tertuju pada golongan 'saudara baru'....tapi sebenarnya golongan 'muslim asli' ini perlu merasa lebih malu dengan kata-kata dan seruan itu.!!

Kerana Islam itu bukan hanya untuk dipeluk-peluk sahaja.........tetapi untuk dijadikan darah daging kita!

No comments: