Sunday, August 22, 2010

Tadarus ooh tadarus…..Semangat yang mungkin hilang…

Allah s.w.t telah menciptakan sesuatu itu berpasangan. Langit dan bumi, siang dan malam, pagi dan petang, lelaki dan perempuan, susah dan senang, hitam dan putih, rendah dan tinggi, buruk dan baik, hidup dan mati….begitu juga Akhirat dan Dunia. Allah tidak pernah mengeji dan mencela Dunia semata-mata, bahkan Dia juga pernah memuji dan memuliakan Dunia. Oleh itu jangan sekali-kali kamu wahai hamba-hambaNYA yang jahil lagi zalim membenci Dunia semata-mata kerana kamu mahukan Akhirat, kerana membenci ciptaan Allah seolah-olah kamu tidak bersyukur dengan kurniaannya. Sesungguhnya Dia tidak sekali-kali mencipta dan melakukan sesuatu yang sia-sia.

Siapa yang mahukan kebaikan dunia maka kejarlah, dan siapa yang mahukan kebaikan akhirat maka kejarlah. Siapa yang hidup hanya untuk akhirat semata-mata nescaya dia akan memperolehinya, dan siapa yang hidup dan menikmati kehidupannya di dunia dan menjadikan dunia sebagai persediaan untuk mendapat kebahagiaan di akhirat, dia akan bahagia di dunia dan di akhirat.

Setiap amalan yang dilakukan oleh setiap hamba Allah itu akan diperlihatkan di padang mahsyar kelak, baik mahupun buruk. NIAT….. Niat yang ikhlas kerana Allah itu WAJIB. Oleh itu, jika niatnya kerana Allah, ganjaran syurga, jika kerana selain dari Allah nerakalah tempatnya. Na’uzubillah.

Namun, setiap sesuatu itu ada baik dan ada buruknya, dan Allah hanya menyuruh hambaNya melakukan kebaikan dan hanya melarang hambaNya melakukan keburukan. Pisau yang tajam, baiknya ketika digunakan untuk memotong sayuran dan makanan, manakala buruknya jika ia digunakan untuk mengancam atau menghilangkan nyawa anak adam yang lain. Buku ilmiah, baiknya jika dibaca dan difahami untuk dijadikan hujjah pada Islam, dan buruknya jika ia dibaca untuk dijadikan hujjah untuk melawan Islam.

Mengambil kebaikan dari sesuatu perkara itu amat dituntut oleh Yang Maha Adil.

TADARUS Al-Quran sempena program IHYA’ RAMADHAN peringkat PERMATA di Mu’tah.

Ia adalah peluang keemasan pada yang celik hatinya, manakala dianggap satu bebanan pada yang buta hatinya. Dan siapa yang “buta” di dunia, dia juga akan “buta” di akhirat kelak.

Membaca Al-Quran adalah suatu yang dituntut oleh Allah s.w.t. Tuntutan yang bukan hanya tertuju pada orang arab semata-mata, bukan orang-orang alim semata-mata, dan bukan pada orang-orang tua semata-mata. Bahkan tuntutan itu menyeluruh kepada semua umat Islam yang mahukan hatinya sentiasa celik dan bercahaya. Kerana Al-Quran itu cahaya.

“Kalaulah macam tu, cukuplah kalau aku baca quran sorang-sorang kat rumah masing-masing, dapat dah masuk syurga”

Satu analogi, seorang lelaki yang sedang khusyuk solat Fardhu Zohor bersendirian (rakaat kedua) di tepi sebatang sungai, tiba-tiba dia terdengar jeritan seorang budak yang tidak dikenali sedang lemas di sungai tersebut. Apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh lelaki tersebut??
A= habiskan dahulu solatnya tanpa menghiraukan budak tersebut.
B= hentikan solatnya dan terus menyelamatkan budak tersebut.

Maka sewajarnya menolong budak tersebut adalah tindakan yang paling dituntut oleh Allah daripada meneruskan solatnya itu.

Jika solat itu adalah tuntutan agama, menolong orang juga tuntutan agama. Malah dalam situasi tersebut menolong budak tersebut adalah lebih dituntut kerana ibarat dia telah melakukan suatu kebaikan bukan untuk dirinya, tetapi untuk kepentingan orang lain dan kemaslahatan agama(menjaga nyawa). Manakala tindakan dia meneruskan solatnya itu ibarat dia hanya mahukan kebaikan untuk dirinya semata-mata (pahala, syurga dan terlepas dari api neraka), sedangkan solat itu masih boleh dilakukan selepas dia menolong budak tersebut.
Nah….cukuplah analogi itu menolak kenyataan sesetengah golongan yang hanya bercukupan dengan berTADARUS masing-masing di rumah.

Kehadiran kalian ke program TADARUS bukan semata-mata untuk mendapat pahala untuk diri anda sahaja atau memperbetulkan bacaan anda sahaja, bahkan yang lebih penting adalah memberi SEMANGAT YANG MUNGKIN HILANG pada ahli jemaah yang lain.

Anda mahu orang lain “lemas” hanya kerana anda mahu mengejar “syurga” Allah????! Sedangkan anda mampu untuk memiliki kedua-duanya. Jangan jadi adik-beradik syaitan hanya dengan anda membazirkan peluang yang ada di depan anda itu.

Dan mungkin suatu hari nanti, minoriti ahli jemaah yang melazimi diri dengan program TADARUS itu akan hilang semangatnya untuk membaca Al-Quran gara-gara sikap kalian yang hanya mementingkan diri sendiri itu. Ataupun mungkin berlaku yang sebaliknya.

No comments: