Thursday, March 21, 2013

Tanggungjawab Muslim terhadap Al-Quran


Sejak kebelakangan ini, institusi-institusi pengajian tahfiz dilihat semakin berkembang di Malaysia. Ini bermaksud kesedaran masyarakat tentang kepentingan institusi ini semakin meningkat. Masyarakat mula yakin bahawa Generasi Qur’ani ini sangat menyumbang terhadap pembangunan Negara yang adil, maju dan berdaya saing.

Namun harapan itu tidaklah wajar jika hanya digantungkan pada leher Al-Huffaz sahaja. Seluruh umat Islam mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap Al-Quran dan kandungannya.

Secara umumnya peringkat tanggungjawab seorang muslim terhadap Al-Quran adalah seperti berikut :

1-    Membaca, mendengar dan menghafal ayat-ayat Al-Quran.
2-   Memahami dan mentafsir ayat-ayat Al-Quran
3-   Mengikut, mengamalkan dan berdakwah dengan ayat-ayat Al-Quran.


1- Membaca, mendengar dan menghafal ayat-ayat Al-Quran.


Membacanya

         Al-Quran merupakan kitab untuk dibaca. Kerana kata teras bagi kata nama Al-Quran adalah (قرأ) yang bermaksud membaca. Membacanya mendapat pahala. Al-Quran juga merupakan kitab bacaan yang mempunyai bilangan pembacanya yang paling tinggi di dunia berbanding kitab-kitab lain.

Buktinya pembacaan Al-Quran telah dijadikan suatu pembacaan yang rasmi (beramai-ramai) dan tidak rasmi (individu). Oleh itu, ia dijadikan bacaan di pembukaan majlis-majlis, dijadikan pertandingan-pertandingan membaca Al-Quran, dijadikan bacaan dalam solat, bacaan perubatan islam, bacaan penyembuh penyakit-penyakit hati, dan banyak lagi.

Allah taala menggalakkan umat Islam membaca Al-Quran dengan seruanNYA :

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang bersyukur kepadanya).”


Nabi Muhammad S.A.W. mengukuhkan lagi galakan Allah untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran menerusi sabda baginda :

“Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia (Al-Quran) akan datang pada Hari Qiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya (orang yang membacanya ketika dia hidup)”. (Riwayat Muslim)

Mendengarnya.

Seperti mana membaca Al-Quran mendapat pahala, mendengarnya juga mendapat pahala.
Nabi Muhammad S.A.W. seorang yang sangat suka mendengar bacaan Al-Quran. Pernah suatu hari baginda meminta Ibnu Mas’ud memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran. Berkata Ibnu Mas’ud dengan merendah diri, “aku membaca (Al-Quran) untukmu sedangkan ia diturunkan ke atasmu”. Nabi bersabda : “Aku gemar mendengarnya (bacaan Al-Quran) daripada orang lain”. Ibnu Mas’ud terus membaca Surah An-Nisa’ sehinggalah sampai kepada ayat 41.


“maka bagaimanakah (Keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan Engkau (Wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”

Lantas baginda menyuruh Ibnu Mas’ud berhenti. Kemudian Ibnu Mas’ud melihat mata baginda bercucuran air mata kesedihan.
Demikian sifat seorang Nabi yang sangat menghayati janji Allah Taala.
Kerana Allah Taala menyarankan hamba-hambaNya agar menghayati isi kandungan Al-Quran. Firman Allah Taala :

“(setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (bertadabbur) isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

Oleh itu, antara cara untuk mencapai penghayatan yang baik adalah dengan mendengar bacaan tersebut dengan penuh perhatian dan tumpuan. Ditegaskan dalam firman Allah Taala lagi :

“ dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”


Menghafalnya.

Satu lagi kehebatan Al-Quran adalah ia telah dipermudahkan oleh Allah, samada untuk dihafal ataupun untuk difahami. Firman Allah Taala :

“ dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa Yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Oleh itu, jika diperhatikan ramai orang islam yang telah menghafal Al-Quran. Tidak mengira peringkat umur atau warna kulit. Yang lebih menarik adalah kebanyakan penghafal Al-Quran adalah mereka yang bukan berbangsa arab. Seperti dari India, Pakistan, Afghanistan, Bangladesh, dan dari benua Asia serta benua Afrika.

Di Malaysia setiap tahun akan diadakan pertandingan menghafal Al-Quran. Bermula dengan peringkat sekolah, negeri, dan kebangsaan. Seterusnya dihanta untuk mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa yang pernah diadakan di Tanah suci Mekah, Mesir, Dubai dan lain-lain. Ini menunjukkan menghafal Al-Quran bukan suatu yang sukar lagi, kerana ia telah dipermudahkan oleh Allah Taala. Demi kelestarian Syariah Islam sehingga ke akhir zaman.

Itulah jaminan Allah Taala untuk menjaga Al-Quran dengan dipermudahkan hafalan-hafalan di hati orang-orang Islam. Firman Allah Taala :

“ Sesungguhnya Kami-lah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamil-ah yang memelihara dan menjaganya.”


1- Memahami dan mentafsir ayat-ayat Al-Quran

Memahami dan mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran adalah peringkat kedua dalam interaksi kita dengan Al-Quran.

“Patutkah mereka (bersikap demikian), iaitu tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

Oleh kerana Al-Quran datangnya dari sisi Allah, maka wajiblah kita memahami isi kandungannya untuk beramal dengan amalan yang betul. Ditambah lagi dengan penurunannya melalui lisan manusia (Nabi Muhammad S.A.W) untuk mudah difahami dan diikuti. Firman Allah Taala :

“maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran Dengan bahasamu (Wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).”

Namun begitu, kita masih memerlukan kepada penafsiran para ulama’. Oleh itu, untuk lebih memahami ayat-ayat Allah itu, kita perlu membaca dan mempelajari ilmu tafsir.
Contoh yang pernah berlaku pada para sahabat dalam menafsirkan ayat  :

“orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman , mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Para sabahat memahami perkataan “Bi Dhulmin” dalam ayat tersebut dengan “menzalimi diri sendiri dengan perkara maksiat”. Para sahabat sedikit keliru dengan penafsiran ini dengan menimbulkan persoalan, “siapakah di antara kita yang tidak menzalimi diri sendiri?” Maka kekeliruan ini diluruskan oleh baginda S.A.W dengan menafsirkan “Bi Dhulmin” dengan maksud “syirik” berdasarkan nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya :

dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".



3- Mengikut, mengamalkan dan berdakwah dengan ayat-ayat Al-Quran.

Al-Quran merupakan sumber utama umat Islam. Dari setiap aspek manusia merujuk Al-Quran. Samada tentang kehidupan di dunia mahupun di akhirat.
Menurut pembahagian yang masyhur di sisi ulama’, ayat-ayat Al-Quran dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Ayat-ayat akidah, ayat-ayat syariat, dan ayat-ayat suluk (sejarah kehidupan).

Umat Islam hanya mengikut ayat-ayat Akidah tanpa menyoal. Mengamalkan ayat-ayat syariat dengan kefahaman yang betul. Dan berdakwah memperbetulkan sahsiah umat Islam dengan ayat-ayat suluk.

Peringkat interaksi ketiga ini adalah peringkat yang tertinggi dan yang terpenting. Ini kerana antara tujuan utama isi kandungan Al-Quran diturunkan adalah untuk membersihkan akidah manusia, menyucikan amalan harian manusia melalui syariat Islam, dan memandu sahsiah dengan sejarah Islam.

Menyedari hakikat ini, para sahabat membaca dan mengkaji Al-Quran hanya dengan tujuan beramal dengannya. Bukan hanya untuk kepentingan-kepentingan tertentu sahaja seperti mahukan kenikmatan membacanya, ilmu sejarahnya, ilmu politiknya dan lain-lain.
Abu Talhah adalah orang terkaya di Madinah. Harta yang paling disayanginya adalah “birha’ ” (sebuah istana) berhadapan dengan masjid. Pada suatu hari apabila Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W. :


“ kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. dan apa jua yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Beliau terus menginfaqkannya untuk mendapat kebaikan yang hakiki itu di sisi Allah. Beliau menyerahkan harta yang paling disayangi itu kepada Junjungan Mulia Muhammad S.A.W. untuk diinfaqkan. Demikianlah interaksi yang terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabatnya terhadap kitab yang paling mulia iaitu Al-Quran Al-‘Azim.


Kesimpulan


 Setelah sekian lama kita hanya mengambil manfaat daripada Al-Quran, sudah tiba masanya kita merenung ke dalam diri masing-masing, tanggungjawab manakah yang telah terlaksana oleh kita terhadap Al-Quran. Jika sebelum ini, Al-Quran hanya dibaca ketika berlakunya kematian, kini masing-masing boleh membaca Al-Quran sebelum tibanya kematian. 

Jika tidak pandai membaca Al-Quran sekalipun, itu bukan alasan kita tidak membaca Al-Quran kerana ganjaran membaca Al-Quran bukan pada ayat atau perkataannya, tapi pada huruf-hurufnya.

Sewajarnya golongan yang mempelajari Al-Quran mendapat penghormatan yang sewajarnya oleh orang biasa. Kerana Allah telah mengangkat darjat orang beriman yang diberi Ilmu di sisiNYA dengan beberapa darjat. Oleh itu, semestinya golongan yang mempelajari Al-Quran mempamerkan akhlak yang terpuji di sisi agama supaya ia tidak menjadi fitnah kepada agama.



No comments: