Thursday, May 19, 2011

Apabila SUFI berpolitik.....

Alhamdulillahi robbil 'alamin....Solatan wa Salaman 'ala Rasulillah al-Amin....wa ba'd...


Salam PRK dan salam Imtihan Niha'i khas buat warga PERMATA Jordan.


Semakin dekat PRK Mu'tah (PERMATA) untuk sesi 2011....maka fahamlah saya bahawa tidak lama lagi akan berlabuhlah tirai kepimpinan PERMATA bagi sesi 2010/2011.

Yang datang mesti akan pergi. Yang pergi mesti ada pengganti. Yang mengganti mesti lebih berkualiti. Yang berkualiti itu bukan hanya pada kuantiti. Tetapi kuantiti yang banyak itu satu petanda bahawa sesuatu itu mungkin berkualiti.

PERSATUAN ADALAH SATU BADAN HISBAH

Badan Hisbah biasanya dikenali dengan badan yang giat mengadakan aktiviti Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Mengajak manusia mengerjakan suruhan agama ketika ternyata suruhan itu telah diabaikan. Dan menegah manusia daripada melakukan larangan agama ketika ternyata larangan tersebut telah dilaksanakan.

Begitu jugalah yang sepatutnya ada pada sesebuah persatuan Islam. ( Surah Ali Imran :104).

Jika kita meneliti dengan lebih mendalam, kita akan mendapati bahawa tujuan utama yang terkandung dalam Amar Makruf Nahi Mungkar adalah konsep yang terlalu biasa dilaungkan iaitu untuk "tolong menolong ke arah kebaikan dan taqwa, dan tolong untuk untuk membanteras kemungkaran dan permusuhan". ( Surah al-Maidah : 2 ).


Oleh itu, matlamat pembinaan sesebuah persatuan itu adalah untuk tolong menolong ke arah kebaikan dan tolong menolong membanteras kemungkaran. Namun secara umumnya tanggungjawab memikul matlamat tersebut bukan hanya pada bahu persatuan, tetapi pada setiap bahu muslim mukallaf.


Jika baik dan buruk yang menimpa pada diri manusia itu dinisbahkan pada HATI. Maka baik dan buruk yang menimpa persatuan itu juga akan dinisbahkan kepada PRESIDENnya. Begitulah tanggungjawab yang terpaksa ditanggung oleh HATI dan juga PRESIDEN.


Walaupun HATI atau PRESIDEN adalah orang pertama yang akan menerima akibat sesuatu perbuatan itu, namun 'anak-anak buah'nya juga bertanggungjawab menyelamatkan 'ketua'nya itu.

Seperti mata yang sering terdorong oleh HATI untuk melihat 'pemandangan' yang haram, akan mengakibatkan bertambah lagi tompok hitam di HATI itu sendiri. Namun lidah atau kaki mungkin boleh menyelamatkan HATI itu dengan melazimi dengan berzikir, atau melangkah meninggalkan tempat maksiat itu. Begitulah juga antara PRESIDEN dan 'anak-anak buah'nya.

Kesimpulannya, bukan hanya persatuan yang berperanan 'menghisbah' ahli-ahlinya, tetapi ahli-ahlinya juga berperanan 'menghisbah' persatuannya. Maka berlapang dadalah untuk menerima hakikat ini.


TASAWWUF DALAM SIYASAH


TARBIAYYAH IMANIYYAH adalah asas dalam segenap gerakan islam. Imaniyyah yang dimaksudkan di sini buka sekadar 'menyebut' di mulut dan 'mengetahui' di akal sahaja. Tetapi yang dimaksudkan adalah IMAN yang mampu menyinari hati dengan sinaran cahaya dan yang mampu menyokong keinginan dengan perbuatan.

Yang kita mahu bukan sekadar berdebat, memprovokasi atau bertarung fikrah semata-mata, tetapi mampu menghasilkan amalan dalam perbuatan.!!

Oleh itu, siyasah islamiyyah pada zaman kini memerlukan penelitian dan aplikasi yang mantap terhadap TARBIYYAH IMANIYYAH atau TARBIYYAH RABBANIYYAH. Dalam erti kata lain, kita memerlukan tasawwuf dalam berpolitik.

Yaa...benar...banyak firqah tasawwuf yang menyimpang dari ajaran Islam (Ahli Sunnah Wal Jamaah). Tapi tidak semua golongan mutasawwifin itu sesat. Bahkan ada di kalangan mereka yang disanjung tinggi dan dihormati oleh sebahagian ulama' dunia. Seperti Hasan al Basri, alFudhail bin 'Iadh, Abul Qasim al Junaid dan lain-lain lagi seperti mereka. Demikian jugalah yang pernah diakui sendiri oleh salah seorang pendokong fahaman salafiyyah Imam Ibn Taimiyyah dalam risalahnya (الفقراء ).


Bahkan kita juga hanya menerima fahaman tasawwuf yang selari dengan konsep yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Iaitu menyucikan hati sebelum beramal dengan perbuatan. (تقوى القلوب ).

Sabda Rasulullah s.a.w : "Sesungguhnya Allah taala tidak melihat pada luaran dan rupa kamu, akan tetapi DIA melihat hati kamu."

Sebahagian daripada golongan mutasawwifin itu juga membuat kesimpulan bahawa cara bertaamul dengan Allah adalah dengan TAQWA, dan cara bertaamul dengan manusia adalah IHSAN (berakhlak mulia).

Imam Ibn Qaiyyim al-Jauzi juga membuat kesimpulan daripada beberapa mutiara kata para mutasawwifin itu dengan katanya :

"Bahkan Agama itu adalah Akhlak, barangsiapa sesiapa yang memperelokkan Akhlaknya maka dia telah memperelokkan Agamanya".

Dan semua itu telah disokong oleh hadis Nabi s.a.w :

"Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kesempurnaan Akhlak".

Cukuplah sekadar itu untuk membuktikan bahawa pentingnya tasawwuf dalam agama kerana ia adalah sebahagian daripada Agama Islam selain daripada Akidah dan Syariah.

Oleh itu, ingin saya berkongsi bersama pembaca sekalian berkenaan EMPAT perkara yang perlu dititikberatkan oleh mahasiswa dan juga masyarakat yang ingin terlibat dalam alam politik tidak kira di peringkat kampus mahupun negara.

1) NIAT YANG IKHLAS DALAM BERAMAL

Memperbaiki niat atau memperbaharui niat amat penting untuk memastikan setiap amalan itu ikhlas kerana Allah Taala. Menjadi pemimpin bukan kerana jawatan, harta mahupun kemasyhuran di sisi manusia. Bukan juga melantik pemimpin untuk kepentingan peribadi, atau untuk menutup ruang lain. Tetapi hanya ingin menjalan dan meneruskan amanah Allah di muka bumi ini sebagai khalifahnya.

Amalan amat memerlukan niat. Kerana setiap ibadah yang dilakukan itu tidak akan diterima oleh ALlah jika niat kita tidak ikhlas keranaNYA. Maka sia-sia sahaja waktu, tenaga dan harta yang telah dihabiskan sebelum ini. ( Surah al Baiyyinah : 5)

Begitu juga Jihad. Tidak akan dikira Jihad sekiranya niatnya bukan kerana untuk menegakkan kalimah Allah yang tertinggi itu. Oleh itu, demi menjaga matlamat orang-orang islam dalam menegakkan sesebuah kerajaan, membangunkan sesebuah masyarakat, menegakkan hukum hakam islam, menegur kepimpinan dan persatuan, atau memastikan biah islamiyyah di kalangan masyarakat islam, Imam Hasan al Banna menggariskan bahawa syiar pertama pejuang Islam adalah ( الله غايتنا ) (Allahlah matlamat Kami)..!! Kita berani melakukan semua itu hanya kerana ingin mencapai redha Allah.


2) KEBERSAMAAN DENGAN ALLAH (MURAQABAH)


Kebersamaan yang dimaksudkan bukan bermaksud untuk menjisimkan Allah...na'uzubillah..tetapi merasai kewujudan Allah ketika dalam segenap amalan kita. Sehinggalah kita dapat merasakan nikmat IHSAN yang dimaksudkan dalam hadis Jibril itu.

Apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril : "Khabarkan kepada ku tentang IHSAN." Maka Nabi menjawab: " Ihsan adalah dengan kamu menyembah Allah seperti kamu melihatnya, jika kamu tidak dapat melihatNYA (semestinya kamu tidak dpt melihatnya dengan mata kasar) maka sesungguhnya Dia sedang memerhatikan kamu".

Rasailah kebersamaan itu untuk mencapai tahap IHSAN. Kerana IHSAN adalah dituntut ke atas setiap muslim samada dalam urusan keduniaan mahupun urusan agama. "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan IHSAN ke atas setiap sesuatu itu".

Realiti kini, berapa ramai mahasiswa ataupun pekerja-pekerja yang tidak mampu merasai RAQABAH ini sehingga menyebabkan sebahagian tindak tanduk mereka tersasar dari landasan Islam. Penyelewengan harta yang berleluasa, melantik pemimpin yang tidak sepatutnya, memberi sokongan kepada golongan yang tidak sepatutnya, membuat tuduhan tanpa asas, menjatuhkan maruah kelompok-kelompok lain dan lain-lain lagi.

Tetapi....mahasiswa sewajibnya menghindari dari natijah-natijah tersebut kerana Allah telah berfirman dalam al-Quran.

"Dan DIA bersama kamu di mana sahaja kamu berada" (surah al-Hadid : 2)


3) SENTIASA KOREKSI DIRI (MUHASABAH)

Sekiranya kita telah mengikhlaskan niat kita sebelum beramal dan juga telah merasakan kebersamaan dengan Allah ketika beramal, maka akan kita masih memerlukan koreksi diri selepas beramal.

Sabda Nabi s.a.w :

"Orang yang berakal adalah orang yang sentiasa mengoreksi (memuhasabah) dirinya dan beramal untuk selepas mati,..."

Kata Amirul Mukminin : "Perhitunglah dirimu sebelum kamu diperhitungkan..."

Dalam dunia berpesatuan juga turut ditekankan konsep ini dengan lebih masyhur dengan istilah 'postmortem'. Ala kulli hal....semua itu telah lama diajarkan oleh Junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi berapa ramai di antara kita yang mengamal dan menghayati sunnah ini.??!

Terutamanya ketika selepas berprogram. Borang muhasabah diedarkan namun hanya sedikit respon yang diberi. Tetapi lebih ramai yang lebih suka mengambil cara menegur dan mengata di laman-laman rasmi internet. Apakah tujuan sebenar tindakan itu..??! Adakah itu tujuan 'muhasabah' yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w ..?!


4) TAWAKKAL PADA ALLAH



Tawakkal adalah senjata dalam muslim mukmin. Ia mampu menguatkan yang lemah dan meramaikan yang sedikit. Senjata ini jugalah yang telah menjadi senjata tradisi para anbia' dan rasul-rasul dalam berhadapan dengan musuh-musuh islam pada zaman dahulu. (surah Ibrahim : 12).

Maksud bertawakkal sebenarnya adalah mewakilkan diri kepada Allah pada segenap amalannya. Bukan pula bermaksud tidak mengambil berat tentang asbab sesuatu kejadian itu, atau menafikan sunnatullah, dengan hanya menunggu hasil daripada Allah sahaja.

Tetapi meyakini bahawa yang memiliki natijah itu hanyalah Allah, setelah kita mengerahkan segala usaha kita untuk mencapai natijah itu. Dan yakinlah bahawa Allah itu amat berpegang pada janjiNya.

Seperti mana tawakkal yang telah ditunjukkan oleh Baginda s.a.w dan sahabatnya Abu Bakar As Siddiq di gua ketika baginda berdua menyorok dari kafir musyrikin quraisy.

Tatkala As-Siddiq berkata kepada baginda Rasullullah dalam ketakutan : "Sekiranya mereka menjengukkan pandangannya ke bawah kaki mereka nescaya mereka akan melihat kita".

Balas Nabi s.a.w : " Janganlah kamu menyangka yang kita hanya berdua, bahkan kita sedang bertiga." (surah at-Taubah : 40)

Semua itu menunjukkan akan kepentingan tawakkal kepad Allah Taala dalam segenap perbuatan yang kita lakukan di dunia ini. Kerana tanpa penyerahan itu segala perancangan dan usaha yang kita lakukan tidak akan berjaya untuk masa yang lama.

Bertawakkal ini juga amat berperanan untuk menjauhkan diri kita daripada pelbagai kekecewaan dan ketidakpuasan hati terhadap suatu perkara yang telah kita lakukan (tidak redha). Kekecewaan ini akhirnya mungkin akan menjerumuskan kita ke arah mensyirikkan Allah Taala.

Misalnya, jika percaturan kita untuk menaikkan seseorang pemimpin yang kita rasakan amat berkelayakan untuk memimpin sesuatu organisasi itu. Dan mungkin saja individu itu ditakdirkan akan menjadi pemimpin kita, itu..alhamdulillah. Tetapi jika ditakdirkan dia tidak menjadi pemimpin itu, maka para pencalon-pencalonnya yang tidak bertawakkal itu mungkin merasa tidak redha dengan pemimpin yang lain itu. Akhirnya PERSATUAN dan ahli-ahli menjadi mangsa.

AKHIRNYA

Sabda Rasulullah s.a.w :

" Tiga perkara sekiranya dilakukan dia akan merasakan kemanisan Iman : Mencintai Allah dan RasulNya melebihi yang selainnya, menyukai seseorang itu hanya kerana Allah, dan dia benci untuk pulang kembali kepada kekufuran itu selepas Allah mengeluarkan ia daripadanya seperti ia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.

~Menyayangi, memilih, menyokong kawan kerana Allah~

No comments: