Monday, April 4, 2011

BERSEDERHANA itu MUSLIM bukan ISLAM


Bismillahirrahmanirrahim...


Umat Islam secara khususnya adalah generasi manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk bernaung di bawah panji Nabi Muhammad s.a.w. Mentauhidkan dan menyembah Allah s.w.t. Berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah Nabawiyyah.

Agama Islam merupakan adik beradik dengan agama-agama samawi seperti agama yahudi, nasnari dan juga majusi (agama ahli kitab). 'Agama Samawi' merupakan agama yang bersumberkan perkhabaran dari langit melalui wahyu yang disampaikan oleh nabi-nabi terdahulu.

Namun begitu, agama Islam adalah penutup segala agama samawi yang di bawa oleh penutup segala nabi dan juga rasul ke muka bumi ini, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.


ISLAM AGAMA FITRAH

Islam merupakan agama yang fitrah. Ia amat sesuai dengan tabiat penciptaan manusia. Sesuai juga jika kita namakan ia sebagai 'Agama Kemanusiaan'. Ini kerana segala sumber dan sandarannya sesuai dengan akal manusia yang sempurna, hidayahnya menyinari hati, keimanannya menyucikan hati, undang-undangnya menyusun kehidupan bermasyarakat, kesamarataannya mengikat antara seluruh manusia, dan perkembangannya sesuai mengikut peredaran masa dan suasana.

Semua itu menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang paling hampir dengan tabiaat manusia dan amat sesuai untuk dijadikan panduan hidup. Oleh itu, amat kurang sekali kita mendengar kes-kes murtad (keluar daripada Islam) di dunia dengan alasan bahawa 'Islam itu adalah agama yang tidak menepati naluri kemanusiaan'.


TOLERANSI ISLAM

Dalam agama Islam terdapat dua unsur utama iaitu Akidah dan Syariat.


AKIDAH

Akidah Islam adalah beriman bahawa Allah itu tuhan yang tunggal yang mencipta alam ini dan tiada sekutu bagiNya, beriman bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah kepada seluruh makhluqNya, beriman dengan nabi-nabi terdahulu, hari Kiamat, mendirikan Solat, Menunaikan Zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengerjakan Haji, dan lain lain-lain.

Masih terdapat toleransi dalam Akidah. Walaupun kita mengatakan hanya agama Islam adalah agama yang benar, kita tidak menolak sepenuhnya i'tiqod atau pegangan akidah para ahli kitab (Taurat dan Injil). Kerana tujuan kedatangan Islam bukanlah untuk melenyapkan agama-agama samawi yang lain, tetapi untuk melengkapkannya. Segala yang selari dengan Al-Quran dan Sunnah kita terima dan sekiranya bercanggah, kita tinggalkan.

Kenapa begitu ?

Kerana khuatir kita mengamalkan suatu yang bukan dari Allah dan RasulNya. Kerana Taurat dan Injil telah mengalami banyak penyelewengan dari tangan-tangan manusia. Manakala Al-Quran dan Sunnah mempunyai sanad yang meyakinkan !

Firman Allah Taala :

"Rasul (Muhammad) telah beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadanya (Al-Quran) dari tuhannya dan begitu juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman pada Allah s.w.t , para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, (Mereka berkata) "Kami tidak membezakan seorang pun dari Rasul-rasulNya".....
[al-baqarah : 285]

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah, dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik...
[an-Nahl :125]

Tiada paksaan dalam( menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat..
(al-baqarah : 256)

SYARIAT

Syariat Islam merangkumi Undang-undang atau prosedur Muamalat (jual beli), Munakahat (kekeluargaan), Jinayat (Hukuman Jenayah), Pembahagian harta peninggalan, wasiat, dan lain-lain. Dengan kata lain segala urusan yang berhubung antara manusia dengan manusia.

Walaupun peranan Syariat Islam ini adalah suatu dari Allah s.w.t untuk menyusun kehidupan manusia, namun ia juga mempunyai unsur-unsur hikmah yang banyak meraikan keperluan manusia dan maslahah masyarakat.

Contohnya Islam adalah satu-satunya agama yang menghalang perkahwinan sesama kaum kerabat yang terdekat (maharim). Islam hanya mengharuskan perkahwinan dengan ajnabi. Melalui pemerhatian para ilmuan kini juga, pensyariatan perkahwinan tersebut (sesama ajanib)banyak kebaikannya untuk keturunan. Tambahan pula ia adalah satu cara untuk mengembangkan lagi zuriat dan keturunan manusia.

Saranan tersebut saya petik dari Al-Quran, Surah An-Nisa' ayat 23.

Begitu juga dengan syariat pembahagian harta pusaka. Islam berlaku adil dengan melihat kepada maslahah keluarga dan masyarakat. Seperti melebihkan pembahagian harta pusaka kepada si pawaris lelaki berbanding pewaris perempuan.

Firman Allah Taala :

وللذكر مثل حظ الأنثيين
"(sebahagian) lelaki menyamai dua (bahagian) perempuan"

Pensyariatan ini bertepatan dengan tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh seorang lelaki terutama sebagai seorang suami di dalam instistusi kekeluargaan.


FIKRAH WASOTIYYAH

وكذلك جعلنكم أمة وسطا لتكونوا شهداء على الناس ويكون الرسول عليكم شهيدا

"Dan demikian kami jadikan kamu(umat islam) sebagai 'ummah pertengahan' agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu."(al-baqarah :143)

'Ummah Pertengahan' yang dimaksudkan bukanlah hanya ummah yang sentiasa memilih untuk berada di tengah-tengah setiap situasi dalam kehidupan dunia semata-mata. Pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah ummah yang tidak melampau, iaitu tidak melebihkan dunia semata-mata atau melebihkan akhirat semata-mata. Ummah yang adil. Ummah yang seimbang antara keduniaan dan ukhrawinya.

Bukan juga bermaksud 'ummah pertengahan' jika seorang muslimah memilih cara pemakaiannya dengan mengambil cara separuh menutup aurat dan separuh lagi mendedahkan aurat. Itu bukan 'ummatan wasato'..!! itu 'umat tak takot neghako'.....!!


Sifat kesederhanaan ini bagi saya bukanlah satu sifat yang difokuskan pada keseluruhan Islam itu. Tetapi ia hanya difokuskan pada seorang Muslim dari sudut perlaksanaannya (amali) terhadap hukum hakam agamanya sahaja. Supaya Muslim itu tidak terlalu ta'assub dengan amalan, fikrah dan pegangannya. Supaya Muslim itu lebih berlapang dada dalam mencari kebenaran. Supaya Muslim itu tidak menjadi penghalang kepada agama Islam.

Sederhana itu bukan Islam, tapi ia adalah wasilah untuk sampai kepada Kesyumulan Islam. Kerana Islam diukur bukan dengan 'Kesederhanaan' atau 'Toleransi' semata-mata, tapi Islam diukur dengan Akidah, Syariat, dan kaedah-kaedah syar'iyyah.

الاسلام يَعلُو ولا يُعْلى عليه -أو كما قال صلى الله عليه وسلم
"Islam itu mengatasi dan tiada yang mengatasinya"

Hatta dalam uslub berdakwah sekalipun, bukan 'wasotiyyah' menjadi kayu ukur utama, tetapi 'berhikmah' itu menjadi ukurannya. Dan berhikmah itu pula bukan bermakna seorang da'ie itu perlu bersederhana dalam menyampaikan dakwahnya tetapi perlu menyampaikan dakwahnya mengikut keperluan dan cara yang sesuai.

Firman Allah Taala dalam surah al-Fatir ayat 32 :

"Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang terlebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.."

Ayat ini memaparkan kepada kita tentang tiga golongan manusia setelah disampaikan mesej daripada Al-Quran kepadanya :

i- Golongan yang menzalimi diri sendiri dengan mengabaikan pesanan Al-Quran tersebut. Akibatnya mereka terdorong untuk melakukan kesalahan berbanding melakukan kebaikan.

ii- Golongan pertengahan. Kesalahan dan kebaikan mereka sama rata.

iii- Golongan yang berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. Kebaikan yang dilakukan oleh mereka melebihi kesalahannya.


Seeloknya golongan ketiga itulah yang menjadi sasaran kita bersama, bukan lagi berlumba-lumba mencari dan menyeru manusia ke arah 'kesederhanaan' atau 'pertengahan' itu. Namun memang tidak dinafikan kewujudan golongan yang pertama dan yang kedua.


MENJENAMAKAN ISLAM

Kini kita hanya mendengar pelbagai jenama yang diberi kepada agama Islam kita ini. Tidak kiralah gelaran itu direka oleh mereka yang cintakan Islam mahupun mereka yang membenci Islam, mereka yang memahami Islam mahupun mereka yang tidak mengetahui tentang Islam, mereka yang Islam dijulang mahupun mereka yang mahu Islam dipijak.

Yang penting umat Islam perlu tahu dan faham apa itu yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t "Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah ISLAM" sebelum ia diberi pelbagai jenama itu.

Jangan sampai JENAMA itu saja yang dijulang-julang tapi ISLAM itu semakin hilang..!!

Berkembangnya Islam bukan kerana nama, tetapi berkembangnya ia kerana Akhlak penganutnya !

كان خُلُقُه القرءان


No comments: