Thursday, April 24, 2008

AL-QURAN SEBAGAI KAWAN KARIB

Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Segala puja dan pujian selayaknya Kuhadapkan pada Allah S.W.T. Selawat dan salam Kuutuskan pada PesuruhNya, Rasul junjungan Muhammad S.A.W, para Anbiya', para Aulia', Ulama dan sekalian makhluk ciptaan Allah di langit dan bumi.

Agama Islam adalah agama Allah S.W.T. yang Benar lagi Selamat. Beruntunglah bagi sesiapa yang telah memilihnya sebagai jalan hidup dan amat rugi bagi golongan yang sebaliknya. Maka marilah sama-sama kita bersyukur pada-Nya dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Islam bukan ibarat pakaian manusia yang dipakai ketika perlu dan dibuang tidak diperlukan. Akan tetapi Islam diibaratkan air yang suci lagi menyucikan. Digunakan untuk membersihkan segala kekotoran dan ia merupakan satu keperluan kepada seluruh makhluk di bumi. Begitulah hakikat Islam wahai sahabat-sahabat sekalian. Ia amat diperlukan oleh sekalian makhluk di bumi ini kerana jaminan kesuciannya. Justeru janganlah dibiarkan kesucian ini dikotori oleh sesiapa pun hatta diri kita sendiri. Banggalah kamu digelar sebagai "Muslim".

Sebagai seorang muslim hakiki, tanggungjawab utama kita ialah menjadikan tuntutan-tuntutan dalam Islam itu dihayati dan diamalkan dalam dalam urusan kehidupan seharian. Tuntutan-tuntutan dalam Islam bermaksud tuntutan Allah terhadap hambaNya. Himpunan tuntutan-tuntutan dalam Islam sebenarnya telah dihimpun di dalam satu bentuk tulisan pada hari ini. Ia adalah Al-Quran Al-Karim. Sumber Al-Quran ialah "Kalam Allah" manakala As Sunnah ialah "Kalam kekasihNya Rasulullah S.A.W.". Oleh itu, zalimlah sesiapa yang memisahkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Selain tuntutan-tuntutan yang mesti ditunaikan, di dalam Al-Quran juga terkandung banyak kisah-kisah para rasul dan para anbia' terdahulu. Tujuan Allah Taala memuatkan kisah-kisah tersebut di dalam Al-Quran supaya manusia yang membaca dan memahaminya dapat menjaga diri mereka dari mengulangi kesilapan umat-umat terdahulu dan juga mengambil tip-tip kejayaan umat-umat terdahulu sebagai panduan untuk mencapai keredhaan Allah.

Marilah kita jadikan al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya al-Quran sahajalah yang akan menjadi petunjuk dan penyelamat kita di dunia dan di akhirat. Kita mesti yakin bahwa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala macam penyakit rohani mahupun jasmani yang sedang menimpa masyarakat manusia hari ini. Sabda Rasulullah s.a.w.:

ِاقْرَوُوا القُرْءآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ.
Maksudnya :
" Bacalah kamu akan Al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya ".
(Riwayat Muslimi )


Selaku muslim yang berpegang teguh pada rukun-rukun Islam, sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa. Mereka yang membaca al-Quran, mendengar malah melihat al-Quran pun akan diberi pahala oleh Allah s.w.t.. Sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :

مَنْ قَرَأَ حَرفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنةٌ، والحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لآ أَقُوْلُ ( ألم ) حَرْفٌ، وَلَكِنَّ أَلِفٌ حَرْفٌ وَ لاَمٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ.

Maksud hadis :
" Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf ". ( Hadis riwayat Muslim )

Selain itu, Al-Quran juga diturunkan bertujuan untuk memandu manusia ke jalan yang benar, memberi petunjuk, rahmat, membawa berita gembira, menjadi penawar, peringatan dan cahaya yang menjadi pedoman dan panduan hidup.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud:


" Wahai ummat manusia ! sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakat batin yang ada didalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman ".

Kegemilangan umat Islam pada kesuatu masa dahulu adalah kerana mereka berpegang teguh dan menghayati al-Quran. Umat Islam terdahulu telah pun meraih pelbagai kejayaan demi kejayaan dan juga telah mengubah tamadun dunia berkurun-kurun lamanya. Pelbagai penemuan ilmu-ilmu alam yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh ilmuan islampada masa itu. Akan tetapi selepas zaman kegemilangan islam itu, banyak ilmu-ilmu islam telah diceduk dan dimanipulasi oleh tokoh-tokoh ilmuan barat . Mereka menggunakan ilmu-ilmu itu untuk kepentingan manusia semata-mata yang mengakibatkan orang islam pada masa itu turut leka dan lalai dengan perkembangan teknologi keduniaannya. Ini berpunca daripada orang-orang islam itu sendiri yang mempunyai tahap penghayatan terhadap ajaran Al-Quran yang kian pudar. Sabda Rasulullah S.A.W. :
تركتُ فيكم أمرين ما إن تمسكتم بهما لن تضلوا أبدا ، كتاب الله وسنة رسوله"
Maksudnya :
"Telah Aku tinggalkan kepada kamu Dua perkara yang mana jika kamu berpegang pada kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan As Sunnah"

Justeru itu, kepentingan membaca dan mempelajari seterusnya membudayakan al-Quran dalam kehidupan adalah kesuatu kewajipan yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan.

Mengapa kita mempunyai masa untuk membaca akhbar, majalah, sms, menonton telivision (TV), melayari internet dan lain-lain ? Kenapa tidak boleh kita memperuntukkan sedikit masa antuk membaca al-Quran? marilah sama-sama kita muhasabah kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang hari. Sejak kita bangun dari tidur dipagi hari sehinggalah kita tidur semula dimalam hari. Adakah kita berasa puas hati dengan amal kebajikan yang dilakukan pada hari ini? Sanggupkah kita meninggalkan hari ini pergi dengan amalan yang tak sebarapa itu? Sedangkan akhirat kelak setiap hari-hari yang kita lalui itu akan menjadi saksi atas perbuatan yang telah kita lakukan. Hari-hari tersebut akan menyebut satu-persatu amalan manusia tanpa ada penambahan atau pengurangan. Oleh itu, hitunglah amalan kita masing-masing pada hari ini sebelum ianya dihitung oleh malaikat di hari akhirat. Ingatlah, manusia yang berjaya ialah mereka yang yang mengerjakan sesuatu pada hari ini untuk kebaikan masa depannya.


Al-Quran akan menyerupai sejenis makhluk di akhirat kelak. Ia akan memberi syafaat dan pertolongan kepada "kawan-kawan"nya di dunia dahulu. Ia bukan saja akan memberi perlindungan dan menyinari kegelapan di akhirat kelak, bahkan ia telah membiaskan cahayanya itu di alam dunia lagi. Buktinya, orang-orang yang memudahkan dirinya untuk membaca, memahami, menghafal ,menjaga, dan mengamalkan Al-Quran, nescaya hidupnya akan dimudahkan oleh Allah dari dunia hingga ke akhirat. Al-Quran adalah punca segala ilmu-ilmu yang ada di dunia ini. Oleh itu, mempelajari Al-Quran bermakna kita mempelajari keseluruhan ilmu yang lain. Jika Al-Quran itu sudah ada di dalam diri maka senanglah ilmu-ilmu lain diserap ke dalam diri. Seharusnya kita berasa rugi dan kesal terlebih dahulu di dunia ini jika kita tidak mampu untuk berjinak-jinak dengan Al-Quran sebelum kita menyesal di akhirat nanti. Penyesalan di akhirat kelak tidak akan memberikan ape-ape kebaikan kecuali kerugian yang amat sangat.

No comments: