Wednesday, December 21, 2011

Selamat berjuang wahai PANGLIMA-PANGLIMA KUIS !

Dari Bandaraya Islam ke Bandaraya Ilmu....

Minggu lepas, hampir seminggu saya berada di Bangi, Selangor. Berteduh di rumah pakcik. Berteman dengan sahabat-sahabat seperjuangan KUIS dan Universiti Mutah. Terima kasih pada kalian atas kesudian meluangkan masa. Saya doakan perjuangan kalian di jalan menuntut ilmu dipermudahkan oleh Allah Taala.

Walaupun jasad di medan pendidikan, namun semangat dan tekad untuk terus mengkaji ilmu-ilmu fiqh terutamanya masih lagi subur dalam hati.

Walaupun sudah 6 bulan Universiti Mutah dalam kenangan, namun bau-bau kitab di maktabah Universiti dan Maktabah dandis masih segar dalam khayalan, seperti baru semalam sedang meniup debu di ruangan kitab 216 dan 217 di maktabah universiti.

Walaupun sudah 2 tahun setengah menjadi alumni KUIS, namun kelibat-kelibat 'panglima-panglima' mahasiswa di bilik gerakan mahasiswa dan Pejabat MPMKUIS masih jelas di ingatan.

Benarlah! Masa itu amat berharga! Maha Kaya Allah Taala menciptakan setiap detik itu dengan segalanya yang baru. Tiada satu detik pun yang sama. Mustahil hari ini sama dengan semalam. Mustahil esok sama dengan hari ini.

Mustahil lah saya mahu mengembalikan kenangan-kenangan dulu yang indah itu! Tapi tidak mustahil untuk saya mengharap detik-detik yang lebih indah dari itu.!!

Selamat mengundi buat warga KUIS !!

Esok tanggal 22 Disember 2011 akan berlangsungnya PRK KUIS kali ke 11. Setelah 2 sesi kepimpinan MPM KUIS berlalu tanpa PRK, namun kali ini ditaqdirkan Allah dengan bilangan pencalonan yang ramai yang membolehkan sesi manifesto dan kempen-kempen dilakukan menjelang esok ! Alhamdulillah...

Bermula pada minggu lepas (14hb Disember 2011-Rabu) iaitu hari pencalonan diikuti dengan malam manifesto pada 16hb Disember 2011 dan bakal berakhir dengan PRK pada esok hari. Setelah berpeluang bertemu mata dengan sebilangan besar calon-calon rasmi PRK kali ini, saya berasa lebih yakin dan selesa dengan masa depan mahasiswa KUIS di masa hadapan.

Dengan ideologi dan pembawakan yang pastinya berbeza itu, saya hanya mengharapkan matlamat atau hadaf yang satu di kalangan calon-calon PRK kali ini untuk melahirkan generasi Ilmuan yang berakhlak sesuai dengan motto KUIS "Pemangkin Tradisi Ilmu."

Ditambah lagi dengan pembawakan baru oleh Rektor baru KUIS, iaitu dengan menjadikan Masjid Al-Azhar itu sebagai jantung KUIS. Dengan kata lain, melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar tinggi daya interlektualnya bahkan tinggi nilai spiritualnya.

Usahlah kalian membanding-bandingkan dengan hasil dari kepimpinan-kepimpinan MPM yang lepas, tetapi saingilah usaha yang telah dilakukan oleh mereka. Kerana yang akan dipersoalkan bukanlah hasilnya tetapi usahanya!

Jadilah mahasiswa yang selalu mendekatkan diri pada Tuhannya!
Jadilah mahasiswa yang sentiasa positif dengan ujian dan cabaran semasa!
Jadilah mahasiswa yang tidak kenal erti putus asa!
Jadilah mahasiswa yang mengenal hak dan tanggungjawabnya!
Jadilah pemimpin yang menerima pujian dan celaan manusia dengan perasaan yang sama!
Jadilah mahasiswa yang mampu membezakan antara matlamat dan cara!

Ingat....tujuan asalmu untuk duduk di 'kerusi panas' MPM itu bukan hnya untuk 'menghidupkan' MPM...bukan hanya untuk menghentam pengurusan...bukan hanya untuk mendengar jeritan kemahuan mahasiswa semat-mata... bukan untuk menaikkan atau menjatuhkan mana-mana kumpulan...bukan untuk merebut kerusi presiden semata-mata...bukan untuk menunjukkan siapa betul siapa salah...malah...tugas yang lebih besar untuk kalian adalah untuk mengajak manusia mengenal dan takut pada Allah!

Bukan sekadar mengajak rakyat-rakyatmu, kawan sejawatanmu, orang-orang di atasmu,..bahkan seluruh pimpinan di peringkat universiti, kebangsaan dan juga antarabangsa.

Dalam kesibukanmu mengajak manusia-manusia itu, jangan sekali kau lupa memperelokkan dirimu juga. Jadilah mahasiswa yang SOLEH, kerana Allah hanya mewariskan bumi ini kepada hamba-hambaNYA yang soleh sahaja.

Oleh itu, kesatuan gerak kerja mahasiswa sangat diperlukan untuk merealisasikan matlamat ini! Tolong menolonglah untuk kebaikan, bukan tolong menolong demi kawan, kumpulan atau persatuan!

Pimpinlah mereka dengan ILMU....

Seorang pemimpin tidak akan lenyap daripada berdepan dengan kehendak-kehendak rakyatnya. Maka kau penuhilah kehendak-kehendak Tuhanmu, semoga Tuhanmu memenuhi kehendak-kehendak mereka itu. Jika kau tetap berkeras juga mahu memenuhi kehendak-kehendak manusia itu, maka kamu tidak akan ketemu titik penghujungnya.

Oleh itu, kenalilah mana satu kehendak Tuhanmu dan mana satu kehendak hawa nafsumu. Hanya dengan ILMU, kamu akan mampu membezakannya.

Ketahuilah, bahawa Allah hanya menuntutmu dengan DUA perkara. Membuka seluas-luasnya pintu kebaikan (maslahah) dan menutup serapat-rapatnya pintu kebinasaan (mafsadah). Hanya itu prinsip Qiadah Islamiyyah.

Oleh itu, tatkala kalian mahu membuka pintu-pintu maslahah itu, maka berilah keutamaan kepada yang lebih utama. Lakukan ia mengikut kemampuan dan keperluan ummah. Amati Fiqh Awlawiyyat nya.......

Utamakan Undang-undang Tuhanmu berbanding Undang-undang Universiti mu. Kerana undang-undang Allah jauh lebih luas dan lebih adil berbanding undang-undang universitimu.

Bukan niat saya untuk memperlekehkan undang-undang Universiti mahupun kerajaan Malaysia, tapi saya mohon sahabat-sahabat mahasiswa dan pemimpin-pemimpin ISLAM meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Bahkan saya hanya mahu mengajak sahabat-sahabat dan pembesar-pembesar sekalian untuk lebih memahami undang-undang Universiti dan undang-undang Malaysia. Patuhilah undang-undang Allah, nescaya kamu tidak akan bermasalah dengan undang-undang Universitimu dan Negaramu.

Wahai mahasiswa!

Jangan sekali-kali kalian takut ataupun gentar untuk melampaui undang-undang mereka itu kerana mereka pun tidak pernah gentar menderhaka undang-undang Allah.

Jangan pula kalian segan untuk menegur pemimpin kalian kerana nasihat kalian itu lebih bermakna daripada kalian hanya membiarkan mereka terus berada dalam kesesatan dan kebingungan itu!

Jangan kalian cepat melatah dan mengadu domba apabila timbul permasalahan, kerana jika kalian mengumpul dan meneliti bukti-bukti masalah tersebut dan menyalurkannya kepada pihak berwajib, itu lebih banyak membantu dalam menyelesaikan permasalahan kalian.

Wahai Pemimpin mahasiswa!

Jangan sekali-kali kalian takut untuk meruntuhkan meja pihak pengurusan tatkala mereka membuat keputusan yang tiada manfaatnya pada mahasiswa, bahkan mengundang kesulitan!

Jangan sekali-kali kalian bimbang untuk menutup mulut mahasiswa tatkala mereka berteriak melaungkan perjuangan yang langsung tidak memberi faedah kepada ummah, bahkan memecah-belahkan ummah!

Kerana keutamaan perjuangan 'panglima Islam' adalah maslahah orang ramai bukan maslahah orang-orang tertentu!


Tatkala kalian mahu menutup pintu-pintu kefasadan pula, maka gunakanlah pendekatan yang penuh dengan hikmah!

Jika suatu keputusan itu membawa kepada kefasadan yang nyata maka berkeraslah....dan jika kefasadannya masih lagi samar-samar, maka bertolak ansurlah atau berilah kepada mereka alternatif-alternatif yang sesuai....Amatilah Fiqh Ikhtilaf, fiqh badil dan fiqh dakwah nyaa.....

Akhir kalam....

Kerisauan saya bukan pada siapa calon yang bakal menang? tapi saya cukup bimbang bagaimana calon yang menang itu akan memimpin dan mentadbir ummah?! Adakah mereka sudah memahami waqi' mahasiswa dan pengurusan KUIS dengan betul? Adakah mereka sudah jelas dengan matlamat mereka bertanding sebagai MPM? adakah mereka sudah bersedia mengutamakan telunjuk keadilan berbanding telunjuk manusia?.........

Pilihlah untuk menjadi seorang yang matang wahai 'panglima-panglima' mahasiswa yang masih muda...kerana kayu ukur kematangan seseorang bukan pada umur atau jawatannya, tapi pada perlakuan dan tutur bicaranya yang berlandaskan ILMU di dada. Cukuplah isu Adam Adli vs Panglima ludah itu memberi gambaran jurang perbezaan yang jauh antara yang matang dan yang tidak matang, antara yang berilmu dan yang tidak berilmu!


Thursday, November 24, 2011

Ibrah musim syita' dan musim hujan

Masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat menyambut musim syita' (musim sejuk) dan musim tengkujuh (musim hujan dan banjir). Ucapan ini khas buat kawan-kawan di seluruh pelusuk bumi ini. Terimalah musim-musim ini dengan penuh persediaan jasmani mahupun rohaninya.

Teringatkan detik-detik pergelutan dengan selimut, tilam dan bantal di waktu pagi sebelum ke kuliah di bumi Jordan, Karak, Mu'tah, Bayt Mu'tah. Menang dan kalah adalah adat pertarungan. Alhamdulillah...kekerapan memihak pada kuliah! =)

Jordan adalah antara negara yang mengalami perubahan cuaca Empat Musim ( Syita'=sejuk, rabi'=bunga, kharif=luruh, soifi=panas). Namun yang paling dapat dirasai adalah musim syita' dan soifi kerana tempohnya agak lama.

Mu'tah pula adalah antara daerah di Jordan yang mencapai tahap salji pada musim sejuk. Ketika soifi, syita'lah yang ditunggu-tunggu. Ketika syita', soifi pula yang ditunggu-tunggu. Begitulah perasaan saya ketika hidup di Jordan.

Kata orang, azab neraka itu digeruni kerana gambaranya dengan nyalaan api yang begitu panas....tapi....perlu diingat, sejuk juga adalah suatu 'azab', bahkan lebih sakit dan menyiksakan. Hanya yang pernah hidup bersama salji sahaja yang mengetahui 'azab' itu.

Firman Allah Taala :

"Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran Kami), kemudian Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, agar kamu dapat mencari kurniaan dari Tuhanmu, dan agar kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan waktu. Dan segala sesuatu Kami terangkan dengan jelas."
(surah al Isra': 12)

Silih ganti musim sejuk dan musim panas sama saja seperti silih ganti siang dan malam. Kerana paksinya adalah bergantung pada keadaan bumi dan matahari.

Segala aturan yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Dan hikmah-hikmahnya itu pula telah diterangkan oleh Allah Taala dengan sejelas-jelasnya. Tidak cukup dengan ayat-ayat qur'aniyyah, ditambah lagi dengan ayat-ayat kauniyyah (alam sekitar). Namun, samada manusia mampu memahaminya ataupun tidak mampu.

Oleh itu, carilah dan rebutlah kurniaan Tuhanmu yang telah dijanjikan itu.!

Apabila syita' menjelma, kebiasaannya waktu siangnya makin pendek dan waktu malamnya makin panjang.

Wahai sahabat-sahabat di Jordan!

Rebutlah peluang itu untuk memperbanyakkan amalan puasamu di siangnya dan amalan munajatmu pada malam hari.! Kerana itulah bekalanmu. Bukan hanya untuk akhirat, tapi untuk kehidupan duniamu juga.

Semoga dengan semua amalan itu, peribadimu selaku seorang penuntut ilmu di bumi anbia' itu lebih dipelihara oleh Allah, segala urusan hidupmu di sana dipermudahkan oleh Allah sentiasa, keluargamu juga turut merasa ketenangan di sebalik munajatmu itu, dan rakyat-rakyat yang miskin di seluruh negara akan turut tertahan kelaparannya dek juhudmu berpuasa.

Benaar....Kita tidak akan mampu memenuhkan dada kita dengan ilmu pengetahuan walau berpuluh-puluh tahun belajar. Oleh itu, penuhilah dada kita dengan rasa penuh kesyukuran dengan setiap waktu dan detik yang dikurniaakn oleh Allah Taala ini.

Penuhilah dan hargailah waktu-waktu yang ada ini dengan kerja-kerja yang bermanfaat yang akan menyumbang saham untuk timbangan kita di dunia mahupun di akhirat.


Wahai sahabat-sahabat di Malaysia !

Sudah menjadi kebiasaan, hujan turun di akhir-akhir tahun ini. Kadang-kadang banjir. Lebih-lebih lagi di negeri-negeri Timur ini.

Firman Allah Taala :


"Dialah yang memperlihatkan kilat kepadamu, yang menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia menjadikan mendung * Dan guruh bertasbihmemujiNya, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepadaNya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sementara mereka berbantah-bantah tentang Allah, dan Dia Maha kera siksaanNya."
(surah ar Ra'du :12-13)

Malaysia antara negara yang mengalami musim hujan. Kebiasaannya hujan turun disulami dengan guruh, kilat dan petir.

Nabi Muhammad s.a.w telah didatangi oleh seorang lelaki lalu bertanya tentang petir. Kata Nabi s.a.w :
ملك من الملائكة موكّل بالسحاب معه مخاريق من نار يسوق بها السحاب حيث شاء الله

"Petir adalah malaikat yang diberi tugas menguruskan awan dan bersamanya pengoyak dari api yang memindahkan awan sesuai dengan kehendak Allah."
(hadis marfu', riwayat at tirmizi)

Oleh itu, sedarlah kita bahawa yang menurunkan hujan dan mendatangkan guruh, kilat, petir, dan banjir itu..semuanya diturunkan oleh Allah Taala.

Walaupun kedengaran dan kelihatannya seperti suatu azab yang amat dahsyat yang menimpa sesiapa saja yang ingkar padaNya, namun disebaliknya terdapat banyak hikmah dan manfaatnya kepada sesiapa yang memikirkannya.!

Yaa...ketika inilah teruji kesabaran seorang hamba pada taqdir Allah, terserlah pengharapan seorang hamba pada Allah, bertambah rasa takut dan taqwa kepada Allah, mendorong seorang hamba agar sentiasa mengingati keEsaan Allah.

Lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah ini. Pelbagai aktiviti-aktiviti dan jaulah-jaulah yang telah dirancang untuk musim cuti sekolah ini terpaksa dibatalkan. Mungkin juga perniagaan-perniagaan yang boleh meraih keuntungan yang banyak di musim cuti ini, namun terpaksa dihentikan buat seketika.

Firman Allah Taala :

"Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukannya esok pagi" kecuali (dengan mengatakan), insyaAllah (sekiranya Allah mengkehendakinya)"
(surah alKahfi : 22-23)

Maka, ayuh sekali lagi kita merenung memikirkan ayat-ayat kauniyyah ini agar dapat meningkatkan tahap keimanan kita bersama. Dan juga dapat kita lebih memahami intipati suruhan dan larangan Allah dan RasulNya di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.