Sejak kebelakangan ini,
institusi-institusi pengajian tahfiz dilihat semakin berkembang di Malaysia.
Ini bermaksud kesedaran masyarakat tentang kepentingan institusi ini semakin
meningkat. Masyarakat mula yakin bahawa
Generasi Qur’ani ini sangat menyumbang terhadap pembangunan Negara yang adil, maju
dan berdaya saing.
Namun harapan itu tidaklah
wajar jika hanya digantungkan pada leher Al-Huffaz sahaja. Seluruh umat Islam mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap Al-Quran dan kandungannya.
Secara umumnya peringkat tanggungjawab seorang muslim terhadap Al-Quran adalah seperti berikut :
1- Membaca, mendengar dan
menghafal ayat-ayat Al-Quran.
2- Memahami dan mentafsir
ayat-ayat Al-Quran
3- Mengikut, mengamalkan dan berdakwah
dengan ayat-ayat Al-Quran.
1- Membaca, mendengar
dan menghafal ayat-ayat Al-Quran.
Membacanya
Al-Quran merupakan kitab untuk dibaca. Kerana kata teras
bagi kata nama Al-Quran adalah (قرأ) yang bermaksud membaca. Membacanya
mendapat pahala. Al-Quran juga merupakan kitab bacaan yang mempunyai bilangan
pembacanya yang paling tinggi di dunia berbanding kitab-kitab lain.
Buktinya pembacaan
Al-Quran telah dijadikan suatu pembacaan yang rasmi (beramai-ramai) dan tidak rasmi (individu). Oleh itu,
ia dijadikan bacaan di pembukaan majlis-majlis, dijadikan pertandingan-pertandingan
membaca Al-Quran, dijadikan bacaan dalam solat, bacaan perubatan islam, bacaan penyembuh penyakit-penyakit hati, dan banyak lagi.
Allah taala menggalakkan
umat Islam membaca Al-Quran dengan seruanNYA :
“Sesungguhnya orang-orang yang
selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan
dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara
terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan
yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka
dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang bersyukur
kepadanya).”
Nabi
Muhammad S.A.W. mengukuhkan lagi galakan Allah untuk membaca ayat-ayat suci
Al-Quran menerusi sabda baginda :
“Bacalah
Al-Quran, sesungguhnya ia (Al-Quran) akan datang pada Hari Qiamat sebagai
pemberi syafaat kepada tuannya (orang yang membacanya ketika dia hidup)”. (Riwayat Muslim)
Mendengarnya.
Seperti
mana membaca Al-Quran mendapat pahala, mendengarnya juga mendapat pahala.
Nabi
Muhammad S.A.W. seorang yang sangat suka mendengar bacaan Al-Quran. Pernah
suatu hari baginda meminta Ibnu Mas’ud memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran.
Berkata Ibnu Mas’ud dengan merendah diri, “aku membaca (Al-Quran) untukmu
sedangkan ia diturunkan ke atasmu”. Nabi bersabda : “Aku gemar
mendengarnya (bacaan Al-Quran) daripada orang lain”. Ibnu Mas’ud terus
membaca Surah An-Nisa’ sehinggalah sampai kepada ayat 41.
“maka bagaimanakah (Keadaan
orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari
tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap
perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan Engkau (Wahai Muhammad) sebagai
saksi terhadap umatmu ini?”
Lantas baginda menyuruh
Ibnu Mas’ud berhenti. Kemudian Ibnu Mas’ud melihat mata baginda bercucuran air
mata kesedihan.
Demikian sifat seorang
Nabi yang sangat menghayati janji Allah Taala.
Kerana Allah Taala
menyarankan hamba-hambaNya agar menghayati isi kandungan Al-Quran. Firman Allah
Taala :
“(setelah diterangkan yang
demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (bertadabbur)
isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang
menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”
Oleh
itu, antara cara untuk mencapai penghayatan yang baik adalah dengan mendengar
bacaan tersebut dengan penuh perhatian dan tumpuan. Ditegaskan dalam firman
Allah Taala lagi :
“ dan apabila Al-Quran itu
dibacakan, maka dengarlah ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan
untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
Menghafalnya.
Satu
lagi kehebatan Al-Quran adalah ia telah dipermudahkan oleh Allah, samada untuk
dihafal ataupun untuk difahami. Firman Allah Taala :
“ dan demi sesungguhnya! Kami
telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah
sesiapa Yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”
Oleh
itu, jika diperhatikan ramai orang islam yang telah menghafal Al-Quran. Tidak
mengira peringkat umur atau warna kulit. Yang lebih menarik adalah kebanyakan
penghafal Al-Quran adalah mereka yang bukan berbangsa arab. Seperti dari India,
Pakistan, Afghanistan, Bangladesh, dan dari benua Asia serta benua Afrika.
Di
Malaysia setiap tahun akan diadakan pertandingan menghafal Al-Quran. Bermula
dengan peringkat sekolah, negeri, dan kebangsaan. Seterusnya dihanta untuk
mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa yang pernah diadakan di Tanah suci
Mekah, Mesir, Dubai dan lain-lain. Ini menunjukkan menghafal Al-Quran bukan
suatu yang sukar lagi, kerana ia telah dipermudahkan oleh Allah Taala. Demi
kelestarian Syariah Islam sehingga ke akhir zaman.
Itulah
jaminan Allah Taala untuk menjaga Al-Quran dengan dipermudahkan hafalan-hafalan
di hati orang-orang Islam. Firman Allah Taala :
“ Sesungguhnya Kami-lah Yang
menurunkan Al-Quran, dan Kamil-ah yang memelihara dan menjaganya.”
1- Memahami dan
mentafsir ayat-ayat Al-Quran
Memahami dan mentafsirkan ayat-ayat
Al-Quran adalah peringkat kedua dalam interaksi kita dengan Al-Quran.
“Patutkah mereka (bersikap
demikian), iaitu tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu
(datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang
banyak di dalamnya.”
Oleh kerana Al-Quran
datangnya dari sisi Allah, maka wajiblah kita memahami isi kandungannya untuk
beramal dengan amalan yang betul. Ditambah lagi dengan penurunannya melalui
lisan manusia (Nabi Muhammad S.A.W) untuk mudah difahami dan diikuti. Firman
Allah Taala :
“maka sesungguhnya tujuan Kami
memudahkan Al-Quran Dengan bahasamu (Wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang
memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).”
Namun begitu,
kita masih memerlukan kepada penafsiran para ulama’. Oleh itu, untuk lebih
memahami ayat-ayat Allah itu, kita perlu membaca dan mempelajari ilmu tafsir.
Contoh
yang pernah berlaku pada para sahabat dalam menafsirkan ayat :
“orang-orang
yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman ,
mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk.”
Para
sabahat memahami perkataan “Bi Dhulmin” dalam ayat tersebut dengan “menzalimi
diri sendiri dengan perkara maksiat”. Para sahabat sedikit keliru dengan
penafsiran ini dengan menimbulkan persoalan, “siapakah di antara kita yang
tidak menzalimi diri sendiri?” Maka kekeliruan ini diluruskan oleh baginda
S.A.W dengan menafsirkan “Bi Dhulmin” dengan maksud “syirik” berdasarkan
nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya :
“dan (ingatlah) ketika Luqman
berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak
kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang
lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman
Yang besar".
3- Mengikut, mengamalkan
dan berdakwah dengan ayat-ayat Al-Quran.
Al-Quran merupakan sumber utama umat
Islam. Dari setiap aspek manusia merujuk Al-Quran. Samada tentang kehidupan di
dunia mahupun di akhirat.
Menurut pembahagian yang masyhur di
sisi ulama’, ayat-ayat Al-Quran dibahagikan kepada tiga bahagian utama.
Ayat-ayat akidah, ayat-ayat syariat, dan ayat-ayat suluk (sejarah kehidupan).
Umat Islam hanya mengikut ayat-ayat
Akidah tanpa menyoal. Mengamalkan ayat-ayat syariat dengan kefahaman yang
betul. Dan berdakwah memperbetulkan sahsiah umat Islam dengan ayat-ayat suluk.
Peringkat interaksi ketiga ini adalah
peringkat yang tertinggi dan yang terpenting. Ini kerana antara tujuan utama isi
kandungan Al-Quran diturunkan adalah untuk membersihkan akidah manusia,
menyucikan amalan harian manusia melalui syariat Islam, dan memandu sahsiah
dengan sejarah Islam.
Menyedari hakikat ini, para sahabat
membaca dan mengkaji Al-Quran hanya dengan tujuan beramal dengannya. Bukan
hanya untuk kepentingan-kepentingan tertentu sahaja seperti mahukan kenikmatan
membacanya, ilmu sejarahnya, ilmu politiknya dan lain-lain.
Abu Talhah adalah orang terkaya di
Madinah. Harta yang paling disayanginya adalah “birha’ ” (sebuah istana)
berhadapan dengan masjid. Pada suatu hari apabila Allah menurunkan wahyu kepada
Nabi Muhammad S.A.W. :
“ kamu tidak sekali-kali akan
dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu
dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. dan apa jua yang kamu dermakan
maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Beliau terus menginfaqkannya untuk mendapat kebaikan
yang hakiki itu di sisi Allah. Beliau menyerahkan harta yang paling disayangi
itu kepada Junjungan Mulia Muhammad S.A.W. untuk diinfaqkan. Demikianlah
interaksi yang terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para
sahabatnya terhadap kitab yang paling mulia iaitu Al-Quran Al-‘Azim.
Kesimpulan
Setelah sekian lama kita hanya mengambil manfaat daripada Al-Quran, sudah tiba masanya kita merenung ke dalam diri masing-masing, tanggungjawab manakah yang telah terlaksana oleh kita terhadap Al-Quran. Jika sebelum ini, Al-Quran hanya dibaca ketika berlakunya kematian, kini masing-masing boleh membaca Al-Quran sebelum tibanya kematian.
Jika tidak pandai membaca Al-Quran sekalipun, itu bukan alasan kita tidak membaca Al-Quran kerana ganjaran membaca Al-Quran bukan pada ayat atau perkataannya, tapi pada huruf-hurufnya.
Sewajarnya golongan yang mempelajari Al-Quran mendapat penghormatan yang sewajarnya oleh orang biasa. Kerana Allah telah mengangkat darjat orang beriman yang diberi Ilmu di sisiNYA dengan beberapa darjat. Oleh itu, semestinya golongan yang mempelajari Al-Quran mempamerkan akhlak yang terpuji di sisi agama supaya ia tidak menjadi fitnah kepada agama.
No comments:
Post a Comment