Friday, March 22, 2013

Cepat2!! Lelong kitab arab murah2...

Nama Kitab : Al-Milal Wa An-Nihal
Kategori : Kitab Akidah / Firoq
Pengarang : Al-Syahrastani
Bil Jilid : 1 ( 3 juzuk dalamnya)
Terbitan : Dar Al-Kutub Al-Ilmiah
Harga :RM 30

Nama Kitab : Nizom Al-Qodho'
Kategori : Kitab Fiqh
Pengarang : Abdul Karim Zaidan
Bil Jilid : 1jilid
Terbitan : Maktabah Al-Risalah
Harga :RM 30



Nama Kitab : Al-Muamalat Al-Maliah Al-Mu'asarah
Kategori : Kitab Fiqh
Pengarang : Dr. Muhammad Uthman Sybaer.
Bil Jilid : 1jilid
Terbitan :
Harga :RM 25


Nama Kitab : Al-Hidayah
Kategori : Kitab Fiqh (Kitab Muktabar dalam Mazhab Hanafi)
Pengarang : Abdul Karim Zaidan
Bil Jilid : 2 jilid (4juzuk)
Terbitan : Dar Al-Hadis
Harga :RM 90

Nama Kitab : Masirah Al-Fiqh Al-Islami AL-Mu'asir
Kategori : Kitab Fiqh semasa
Pengarang : Dr. Syueish Al-Mahamid
Bil Jilid : 1jilid
Terbitan : Dar Al-Aman
Harga :RM25







Nama Kitab : Kitab Al-Fiqh 'Ala Al-Mazahib Al'Arba'ah
Kategori : Kitab Fiqh 4 mazhab
Pengarang : Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri
Bil Jilid : 5 jilid
Terbitan : Dar Al- Fikri
Harga : RM 80



Kepada sahabat-sahabat pengkaji dan pencinta Ilmu Allah di bumi ini, anda berpeluang memiliki kitab dengan harga sangat berpatutan. Sekiranya berminat, sila hubungi saya di talian 019-6036246.

Thursday, March 21, 2013

Tanggungjawab Muslim terhadap Al-Quran


Sejak kebelakangan ini, institusi-institusi pengajian tahfiz dilihat semakin berkembang di Malaysia. Ini bermaksud kesedaran masyarakat tentang kepentingan institusi ini semakin meningkat. Masyarakat mula yakin bahawa Generasi Qur’ani ini sangat menyumbang terhadap pembangunan Negara yang adil, maju dan berdaya saing.

Namun harapan itu tidaklah wajar jika hanya digantungkan pada leher Al-Huffaz sahaja. Seluruh umat Islam mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap Al-Quran dan kandungannya.

Secara umumnya peringkat tanggungjawab seorang muslim terhadap Al-Quran adalah seperti berikut :

1-    Membaca, mendengar dan menghafal ayat-ayat Al-Quran.
2-   Memahami dan mentafsir ayat-ayat Al-Quran
3-   Mengikut, mengamalkan dan berdakwah dengan ayat-ayat Al-Quran.


1- Membaca, mendengar dan menghafal ayat-ayat Al-Quran.


Membacanya

         Al-Quran merupakan kitab untuk dibaca. Kerana kata teras bagi kata nama Al-Quran adalah (قرأ) yang bermaksud membaca. Membacanya mendapat pahala. Al-Quran juga merupakan kitab bacaan yang mempunyai bilangan pembacanya yang paling tinggi di dunia berbanding kitab-kitab lain.

Buktinya pembacaan Al-Quran telah dijadikan suatu pembacaan yang rasmi (beramai-ramai) dan tidak rasmi (individu). Oleh itu, ia dijadikan bacaan di pembukaan majlis-majlis, dijadikan pertandingan-pertandingan membaca Al-Quran, dijadikan bacaan dalam solat, bacaan perubatan islam, bacaan penyembuh penyakit-penyakit hati, dan banyak lagi.

Allah taala menggalakkan umat Islam membaca Al-Quran dengan seruanNYA :

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa Yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang bersyukur kepadanya).”


Nabi Muhammad S.A.W. mengukuhkan lagi galakan Allah untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran menerusi sabda baginda :

“Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia (Al-Quran) akan datang pada Hari Qiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya (orang yang membacanya ketika dia hidup)”. (Riwayat Muslim)

Mendengarnya.

Seperti mana membaca Al-Quran mendapat pahala, mendengarnya juga mendapat pahala.
Nabi Muhammad S.A.W. seorang yang sangat suka mendengar bacaan Al-Quran. Pernah suatu hari baginda meminta Ibnu Mas’ud memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran. Berkata Ibnu Mas’ud dengan merendah diri, “aku membaca (Al-Quran) untukmu sedangkan ia diturunkan ke atasmu”. Nabi bersabda : “Aku gemar mendengarnya (bacaan Al-Quran) daripada orang lain”. Ibnu Mas’ud terus membaca Surah An-Nisa’ sehinggalah sampai kepada ayat 41.


“maka bagaimanakah (Keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan Engkau (Wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?”

Lantas baginda menyuruh Ibnu Mas’ud berhenti. Kemudian Ibnu Mas’ud melihat mata baginda bercucuran air mata kesedihan.
Demikian sifat seorang Nabi yang sangat menghayati janji Allah Taala.
Kerana Allah Taala menyarankan hamba-hambaNya agar menghayati isi kandungan Al-Quran. Firman Allah Taala :

“(setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (bertadabbur) isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”

Oleh itu, antara cara untuk mencapai penghayatan yang baik adalah dengan mendengar bacaan tersebut dengan penuh perhatian dan tumpuan. Ditegaskan dalam firman Allah Taala lagi :

“ dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”


Menghafalnya.

Satu lagi kehebatan Al-Quran adalah ia telah dipermudahkan oleh Allah, samada untuk dihafal ataupun untuk difahami. Firman Allah Taala :

“ dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka Adakah sesiapa Yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Oleh itu, jika diperhatikan ramai orang islam yang telah menghafal Al-Quran. Tidak mengira peringkat umur atau warna kulit. Yang lebih menarik adalah kebanyakan penghafal Al-Quran adalah mereka yang bukan berbangsa arab. Seperti dari India, Pakistan, Afghanistan, Bangladesh, dan dari benua Asia serta benua Afrika.

Di Malaysia setiap tahun akan diadakan pertandingan menghafal Al-Quran. Bermula dengan peringkat sekolah, negeri, dan kebangsaan. Seterusnya dihanta untuk mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa yang pernah diadakan di Tanah suci Mekah, Mesir, Dubai dan lain-lain. Ini menunjukkan menghafal Al-Quran bukan suatu yang sukar lagi, kerana ia telah dipermudahkan oleh Allah Taala. Demi kelestarian Syariah Islam sehingga ke akhir zaman.

Itulah jaminan Allah Taala untuk menjaga Al-Quran dengan dipermudahkan hafalan-hafalan di hati orang-orang Islam. Firman Allah Taala :

“ Sesungguhnya Kami-lah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamil-ah yang memelihara dan menjaganya.”


1- Memahami dan mentafsir ayat-ayat Al-Quran

Memahami dan mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran adalah peringkat kedua dalam interaksi kita dengan Al-Quran.

“Patutkah mereka (bersikap demikian), iaitu tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

Oleh kerana Al-Quran datangnya dari sisi Allah, maka wajiblah kita memahami isi kandungannya untuk beramal dengan amalan yang betul. Ditambah lagi dengan penurunannya melalui lisan manusia (Nabi Muhammad S.A.W) untuk mudah difahami dan diikuti. Firman Allah Taala :

“maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran Dengan bahasamu (Wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).”

Namun begitu, kita masih memerlukan kepada penafsiran para ulama’. Oleh itu, untuk lebih memahami ayat-ayat Allah itu, kita perlu membaca dan mempelajari ilmu tafsir.
Contoh yang pernah berlaku pada para sahabat dalam menafsirkan ayat  :

“orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman , mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Para sabahat memahami perkataan “Bi Dhulmin” dalam ayat tersebut dengan “menzalimi diri sendiri dengan perkara maksiat”. Para sahabat sedikit keliru dengan penafsiran ini dengan menimbulkan persoalan, “siapakah di antara kita yang tidak menzalimi diri sendiri?” Maka kekeliruan ini diluruskan oleh baginda S.A.W dengan menafsirkan “Bi Dhulmin” dengan maksud “syirik” berdasarkan nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya :

dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".



3- Mengikut, mengamalkan dan berdakwah dengan ayat-ayat Al-Quran.

Al-Quran merupakan sumber utama umat Islam. Dari setiap aspek manusia merujuk Al-Quran. Samada tentang kehidupan di dunia mahupun di akhirat.
Menurut pembahagian yang masyhur di sisi ulama’, ayat-ayat Al-Quran dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Ayat-ayat akidah, ayat-ayat syariat, dan ayat-ayat suluk (sejarah kehidupan).

Umat Islam hanya mengikut ayat-ayat Akidah tanpa menyoal. Mengamalkan ayat-ayat syariat dengan kefahaman yang betul. Dan berdakwah memperbetulkan sahsiah umat Islam dengan ayat-ayat suluk.

Peringkat interaksi ketiga ini adalah peringkat yang tertinggi dan yang terpenting. Ini kerana antara tujuan utama isi kandungan Al-Quran diturunkan adalah untuk membersihkan akidah manusia, menyucikan amalan harian manusia melalui syariat Islam, dan memandu sahsiah dengan sejarah Islam.

Menyedari hakikat ini, para sahabat membaca dan mengkaji Al-Quran hanya dengan tujuan beramal dengannya. Bukan hanya untuk kepentingan-kepentingan tertentu sahaja seperti mahukan kenikmatan membacanya, ilmu sejarahnya, ilmu politiknya dan lain-lain.
Abu Talhah adalah orang terkaya di Madinah. Harta yang paling disayanginya adalah “birha’ ” (sebuah istana) berhadapan dengan masjid. Pada suatu hari apabila Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W. :


“ kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. dan apa jua yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Beliau terus menginfaqkannya untuk mendapat kebaikan yang hakiki itu di sisi Allah. Beliau menyerahkan harta yang paling disayangi itu kepada Junjungan Mulia Muhammad S.A.W. untuk diinfaqkan. Demikianlah interaksi yang terbaik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabatnya terhadap kitab yang paling mulia iaitu Al-Quran Al-‘Azim.


Kesimpulan


 Setelah sekian lama kita hanya mengambil manfaat daripada Al-Quran, sudah tiba masanya kita merenung ke dalam diri masing-masing, tanggungjawab manakah yang telah terlaksana oleh kita terhadap Al-Quran. Jika sebelum ini, Al-Quran hanya dibaca ketika berlakunya kematian, kini masing-masing boleh membaca Al-Quran sebelum tibanya kematian. 

Jika tidak pandai membaca Al-Quran sekalipun, itu bukan alasan kita tidak membaca Al-Quran kerana ganjaran membaca Al-Quran bukan pada ayat atau perkataannya, tapi pada huruf-hurufnya.

Sewajarnya golongan yang mempelajari Al-Quran mendapat penghormatan yang sewajarnya oleh orang biasa. Kerana Allah telah mengangkat darjat orang beriman yang diberi Ilmu di sisiNYA dengan beberapa darjat. Oleh itu, semestinya golongan yang mempelajari Al-Quran mempamerkan akhlak yang terpuji di sisi agama supaya ia tidak menjadi fitnah kepada agama.



Monday, March 4, 2013

Percaya pada Google lebih dari Ulama'


Setuju atau tidak jika saya katakan bahawa kita sedang berada dalam zaman yang berisiko tinggi untuk manusia SESAT ?? Manusia lebih banyak menghabiskan masa dengan komputer, internet, talipon mudah alih, gadget-gadget elektronik berbanding menghabiskan masa dengan keluarga, masyarakat (manusia).

Realiti ini perlu disedari oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja yang sangat celik IT. Terkadang kepakaran mereka mengakses teknologi masa kini lebih hebat berbanding ibu bapa mereka sendiri. Ini menjadi satu punca anak-anak remaja masa kini kadang-kadang terlepas dari kawalan dan perhatian ibu bapa mereka sendiri.

Siapa yang perlu dipersalahkan? Adakah si anak yang terlalu moden? Adakah ibu bapa yang tidak moden? Adakah kepesatan teknologi di zaman moden ini harus dipersalahkan?

Kajian sarjana barat membuktikan antara faktor kanak-kanak masa kini semakin singkat waktu fokusnya terhadap suatu sesi pembelajaran adalah kerana terlalu terbiasa bermain talipon mudah alih dan gadget-gadget elektronik. Mereka hanya mampu bertahan untuk menerima sesuatu input hanya sekitar 30-45 minit sahaja. Selebihnya mereka akan rasa bosan dan tidak tenang lagi.

Kebelakangan ini, tablet-tablet, i pad, talipon mudah alih yang canggih-canggih mudah untuk didapati bahkan dengan harga yang murah. Ditambah lagi dengan galakan kerajaan untuk rakyat memiliki talipon pintar melalui rebat-rebat tertentu. Sehingga menjadi 'aib (suatu yang memalukan) jika seorang remaja IPT atau Menengah tidak memiliki talipon mudah alih. Bahkan peringkat sekolah rendah pun sudah terikut-ikut dengan budaya tersebut.

Itu yang remaja sendiri usahakan. Ada juga yang ibu bapa yang usahakan.

Anak yang baru belajar bercakap dihadiahkan dengan tablet yang berharga lingkungan RM 300 -RM 500. Dengan alasan 'senang anak nak belajar A B C nati'. Tapi yang lebih lama mengadap tablet itu, ibu bapanya. Mungkin ibu bapa itu belum habis-habis menapis pengisian tablet tersebut. Sungguh bertuah si anak ini. !

Saya teringat ketika saya bermusafir bersama kawan-kawan dari kelantan ke rumah kawan saya di kuala lumpur. Dengan hanya berbekalkan alamat, kami bertiga meraba-raba kota metropilitan itu dengan menaiki kereta. Bergilir-gilir memandu sehingga sampai ke Kuala Lumpur. Sampai saja di KL, seorang kawan saya mengeluarkan talipon canggihnya yang mempuanyai GPS. Hati kami berasa sedikit lega, mata kami berasa sedikit 'cerah' di hari yang terang benderang. Amir memandu, saya di kiri, Kamal di belakang dengan GPSnya (bukan nama sebenar).

Tiba-tiba, Amir tersilap mengambil lorong. Semua mata tertumpu pada GPS. Kebetulan GPS ketika itu tergendala beberapa minit. Pada masa itu, kami telah sampai di kawasan Sungai Buluh yang agak perkampungan. Dalam hati saya "alhamdulillah, nasib baik dah sampai kawasan ada orang ramai ini, senang nak tanya-tanya orang nati".

Suara hati tersebut saya sampaikan pada Amir. "Jom kita berhenti kejap tanya orang-orang kampung ini, laipun dah nk dekat dah ni". "Tak payah la, ikut je GPS tu, jap lagi ok lah tu" -sapa Kamal menolak ajakan saya.

Dari situ, saya fikir, teknologi telah berjaya memenjarakan manusia daripada bermasyarakat.

Satu lagi peristiwa.

Ketika saya mengikuti ceramah kuliah maghrib di sebuah masjid berdekatan saya. Tajuk kontemporari yang cuba dikupas oleh imam masjid tersebut iaitu "Demokrasi dalam politik Islam". Satu perkongsian idea yang baik yang saya kira gaya penyampaiannya agak serasi dengan tahap pendengarnya pada waktu itu.

Tiba-tiba ada suara lantang seorang pemuda jemaah masjid yang turut mendengar ceramah tersebut menyatakan tidak setujunya dia dengan apa yang diberitahu oleh penceramah tersebut. Ia berbentuk pertanyaan yang membantah. Imam tersebut menjawab dengan jawapan yang agak sederhana dan berhati-hati dengan sandaran-sandarannya dari sumber-sumber yang kukuh. Mungkin imam tersebut seorang yang teliti dalam menerima hujjah, dia bertanya kembali kepada saudara yang bertanya itu, 'darimana tuan ambil hujjah tersebut?'.

Dengan bangganya, ahli jemaah tersebut memberitahu 'saya ambil fakta itu dari google, mana pandai tok imam dengan google?!'.

Jawapan saudara itu disusuli dengan sorakan dan ketawa dari ahli jemaah yang lain.

Dari situ, saya berfikir lagi, benarlah, teknologi masa kini telah berjaya memecah belahkan perpaduan orang Islam.

Itu mungkin kerana mereka golongan awam.

Kali ini pula golongan interlektual.

Mahasiswa-mahasiswa islam di timur tengah. Ingat lagikah kehidupan 'kita' dulu-dulu??

Di tengah-tengah masyarakat arab yang agak mundur teknologinya, mahasiswa Islam Malaysia mampu berinteraksi dalam laman-laman sosial dalam internet. Boleh dikatakan setiap rumah memiliki internet , malah ada yang unlimited lg. Apa masalahnya ?

Apa yang saya nak katakan adalah , bukan sekadar golongan kanak-kanak dan golongan remaja awam, bahkan golongan mahasiswa pun berisiko tertipu dengan teknologi terutamanya internet.

Mungkin kerana kelas yang tidak wajib, mahasiswa ini lebih cenderung mengisi masa lapangnya dengan berFB, berBlog, dll....yang lebih malang lagi adalah yang berPS2/PS3...Yang lebih merunsingkan saya apabila mereka masuk bilik mengadap laptop-laptop masing, sudah tiada masa untuk bermasyarakat.

Benar, dalam internet pun ada ruang untuk kita berkomunikasi dan bermasyarakat. Ingat, walaupun sekarang kia sibuk dengan tuntutan High Tech, jangan lupa kita masih perlukan High Touch.

Kesimpulannya, orang islam terutamanya perlu berhati-hati dengan perkembangan dan perubahan teknologi. Bukan menolak teknologi, tapi mendepaninya dengan bimbingan dan panduan Al-Quran dan Al-Sunnah. Mendahulukan nilai-nilai murni Islam berbanding nilai-nilai moden semata-mata.

Semua pihak wajib memainkan peranan untuk memastikan aktiviti bermasyarakat dapat bergerak lancar. Kerana kita akan menjadi mangsa 'baham' teknologi jika kita berseorangan.