Sunday, July 21, 2013

Jangan tipu para Ustaz !


Ikhlas dan Ustaz.

Alhamdulillah wa syukru Lillah wa ba'du...

Setiap manusia bergantung pada amalannya. Setiap amalan bergantung pada niatnya. Setiap niat bergantung pada ikhlasnya. Hanya amalan yang didasari dengan niat yang Ikhlas sahaja akan diterima oleh Allah.

 Sebenarnya sudah sedia maklum bahawa Ikhlas merupakan tuntutan terhadap setiap individu Muslim. Kerana Ikhlas akan mengibadat sesuatu amalan yang dikerjakan. Oleh itu, setiap orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mesti mengerjakan setiap pekerjaannya dengan niat yang Ikhlas kerana Allah Taala.

Ustaz pula ialah gelaran khas yang diberikan kepada individu yang mempunyai ilmu agama atau sedang belajar ilmu agama atau mengajar ilmu agama. Jika mengajar matematik atau bahasa melayu dia akan digelar cikgu. Itu mungkin diperingkat pengajian rendah atau menengah. Jika di universiti, tenaga pengajarnya dipanggil Doktor atau Prof. Begitulah seterusnya.

Namun Ikhlas tidak mengenal gelaran-gelaran tersebut. Ikhlas hanya kenal gelaran Muslim. Setiap individu yang bergelar Muslim wajib ikhlas dalam setiap tindakannya. Jika ia tidak ikhlas dalam melakukan kerjanya, apa akibatnya? Adakah dia digantung kerja? Adakah gajinya berkurangan?

Jawapannya tidak. Dia akan tetap dengan jawatan dan gajinya. Tapi di sisi Allah, pekerjaannya berpuluh-puluh tahun itu adalah sia-sia. Tiada saham pahala baginya di akhirat nanti. Yang akan membantunya nanti hanya solatnya, puasanya, sedekahnya, baca qurannya. Itupun kalau dia ikhlas mengerjakannya, jika tidak maka sehelai sepingganglah dia di akhirat nanti.

AMBIL KESEMPATAN ATAS KESEMPITAN.

"Ustaz, tahun ni dah ada permintaan jadi imam tarawih? boleh tak ustaz jadi imam tarawih di masjid kampung ana?" -ajak seorang JKK masjid.

" Setakat ni belum ada orang minta lagi, insyaAllah kalau ana dikurniakan kesihatan yang baik ana boleh jadi imam nanti." -balas saya sepontan walaupun dalam hati agak berat kerana baru dapat kerja di MTAQA. Setiap hati terpaksa merentas perjalanan 60km.

"Ustaz jangan risau, minyak kereta kami bagi klaim (jarak dari rumah saya ke masjid 40km pergi balik), dan saguhati nanti kami akan bagi." -bodek dia lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala sambil senyum mendengar kata-kata itu. Di hati kecil ini sebak syukur kepada Allah. Mungkin inilah pertolongan Allah untuk saya disaat saya sangat memerlukan.

"Tahun ini bolehlah saya kumpul duit lebih untuk persediaan kahwin." -Bisik nakal hati kecil ini.

"Tahun lepas siapa jadi imam masjid tu?" -tanya saya lagi menyiasat latar belakang masjid tersebut.

"Tahun lepas kami jemput ustaz tahfiz dari perak. Kami bagi rumah untuk dia duduk dekat dengan masjid. Dia hanya imam subuh dengan tarawih je. Tahun lepas saguhati yang kami bagi RM 3xxx." -lancar huraiannya seperti membaca skrip yang telah diatur.

" Oh macam tu. Kenapa tahun ni tak ambil dia lagi?" -saya meneruskan soal siasat.

"Setiap tahun masjid kami tukar-tukar imam tarawih. Tukar angin. Nak ambil hati makmum. Lagipun ana dengar ustaz jadi imam bagus, bacaan ustaz bagus "- jawapan serta gurauan.

" kalau saya jadi imam kat masjid tu nanti, saya akan jadi imam tarawih sahaja tak boleh jadi imam subuh dan tak nak jadi pentazkirah, dan saya nak buat 8 rakaat tarawih sahaja." - syarat ringan dari saya.

"okey boleh, nanti saya akan maklumkan pada pengerusi masjid nanti. Saya rasa tak ada masalah dengan permintaan ustaz tu" -janji pemuda itu mengakhiri perbualan kami.

Ramadhan bermula. Saya memulakan tugasan saya dengan kejutan pertama yag sangat menarik.

Tok Imam masjid bersama beberapa jemaah masjid tersebut minta saya buat 20 rakaat. Hanya dimaklumkan selepas solat isyak. Mana boleh saya menang  jika 1 lawan 4, 5 orang. Pasrah dan laksanakan sahaja tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh lillah taala.

27 malam berlalu. Saya meminta dari Tok Imam agar diberi kelonggaran bertarawih di kampung sendiri menjelang hari raya. Tok Imam berkeras tidak mengizinkan dengan alasan "jemaah masih mahukan ustaz". Bahkan dia menambah satu lagi kejutan.

"Ustaz tolong baca khutbah raya di masjid ni boleh? Ana dah tua, dah bertahun-tahun ana baca, tahun ni kalau boleh nak dengar orang muda pulalah. Boleh la ustaz ye." -mujamalah Tok Imam Tua.

Terkelu lidah saya. Seolah dikunci seluruh anggota badan saya. Tiba-tiba teringat nasihat ustaz saya sewaktu di Maahad tahfiz, "pungutlah pengalaman sebanyak-banyak yang mungkin ketika usia masih muda ni".

"Baiklah tok imam, nanti saya tolong." - mulut saya melafazkannya sebelum hati mengizinkannya.

Tahun ini dalam sejarah. Saya beraya di kelantan tapi bukan di rumah.

Setelah selesai solat aidilfitri dan khutbah raya, saya bersalaman dengan jemaah masjid tersebut. Mungkin itu wida' kami. Di akhiri dengan bersalaman dengan tok imam tua bersama beberapa orang JKK masjid.

Sambil bersalam tok imam menghulurkan sepucuk sampul surat putih yang berisi wang saguhati. ALHAMDULILLAH....penat seorang imam tarawih 20 rakaat berseorang Allah sahaja tahu.

"Terima kasih ustaz, ini ada sedikit sumbangan dari pihak masjid, harap ustaz dapat terima." -ujar tok imam tua.

"Takpe..ustaz ikhlas je jadi imam tarawih ni. Bagi je berapa-berapa pun ....hehee" -suara salah seorang JKK masjid tersebut menyelit sambil ketawa riang.

"Terima kasih juga, saya minta maaf kalau ada kekurangan sepanjang saya jadi imam tarawih tahun ni. Saya minta diri dulu nak jumpa mak ayah di kampung." -saya minta diri.

Sepanjang perjalanan pulang, riang berhari raya bercampur gembira mendapat gaji dihias takbir hari raya dan lagu-lagu raya di radio.

Sesampai di rumah saya bersalaman dengan ahli keluarga, makan pagi dan menziarahi sanak saudara berdekatan. Tengah hari saya pulang ke rumah untuk berehat sebelum zuhur. Sempat membuka sampul surat putih untuk melihat rezeki  "gaji" dan "klaim" saya bulan ini. Gaji bulan ini RM 7xx.

Setelah tahu jumlah tersebut saya terus terbayang kata-kata terakhir JKK tersebut. Sungguh mengecewakan. Dia telah mengambil kesempatan atas kesempitan saya. “Ikhlas” adalah modalnya.

Bukan sedih dengan jumlah tersebut tapi sedih dengan sikap Muslim. Saya boleh lupakan janji JKK masjid tersebut sebelum saya dilantik menjadi imam tarawih tapi saya tidak akan pernah lupa tentang pahala dari Allah Taala.

Demikian pengalaman saya yang saya rasa sesuai untuk dikongsi pada kali ini. Banyak lagi pengalaman yang seirasnya yang pernah dialami oleh para ustaz-ustaz di luar sana.

Ustaz mudah ditipu.?? Kenapa?? Kerana mereka tahu ustaz-ustaz tak akan berani mengungkit atau untuk minta duit tersebut takut digelar "ustaz tidak ikhlas".

Motif saya kali ini bukan menagih simpati tapi menyedarkan masyarakat dengan realiti para ustaz-ustaz.. Kalau cikgu makan nasi, ustaz pun makan nasi. Kalau bisnesman berbelanja, ustaz pun berbelanja. Kerana ustaz pun hidup di dunia.

Amaran ringkas dari saya. Jangan cuba perangkap ustaz-ustaz dengan perangkap "Ikhlas" di dunia. Dan jangan pernah anggap "ikhlas" itu perangkap bagi ustaz-ustaz. !!

Selamat berpuasa dan selamat mengikhlaskan diri dalam setiap amalan.

Saturday, July 6, 2013

Persediaan memburu TAQWA di rimba RAMADHAN


 Semakin hari semakin banyak perkataan 'taqwa' meniti di bibir orang Islam. Namun semakin sikit kefahaman dan penghayatan terhadap makna taqwa yang sebenar.

Istilah taqwa yang dilihat suatu yang ringan untuk disebut-sebut namun hakikat pelaksanaannya ia tidak semudah itu. Telinga juga mungkin sudah lali mendengar seruan taqwa oleh khatib setiap perhimpunan Jumaat bagi setiap Muslim. Kecuali lidah dan telinga yang amanah dengan ilmunya.

 Istilah taqwa adalah istilah yang sering disempitkan pengertiannya. Ia bukanlah sekadar takut pada Allah. Bukan juga sekadar melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Bahkan ia lebih luas dari itu. Taqwa yang menjadi satu-satunya ukuran yang membezakan manusia disisi Allah. Ia meliputi segenap amalan manusia di dunia. Mana mungkin Allah menilai hamba-hambaNya dengan hanya melihat pada tahap takutnya pada Allah sahaja...!?


Jika ditelusuri menerusi enam ribu lebih ayat-ayat suci Al-Quran, akan terdapat perkataan taqwa, tattaqun, muttaqin, atau muttaqun. Secara tidak langsung kesemua ayat-ayat tersebut telah memberi pengertian-pengertian tertentu terhadap taqwa.

Taqwa asal dari perkataan waqa- yaqi-taqwa.

Firman Allah taala : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

 Quu yang membawa maksud 'peliharalah'. Oleh itu, seruan untuk ber taqwa bermaksud seruan untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara, pembenteng atau penyelamat diri dari sebarang kemungkaran.

 Hakikat kita menjadikan Allah sebagai benteng antara kita dengan kemungkaran itu adalah dengan menganggap segala suruhan dan tegahanNya sebagai wasilahnya. Oleh itu, orang yang bertaqwa akan sentiasa melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan dengan yakin dan gembira. Kerana merasakan diri sentiasa diperhatikan oleh sang Pencipta yang Maha Mengetahui.

Taqwa merupakan gedung segala amal kebaikan. Jika amalan bersedekah adalah amalan kebaikan maka Taqwa adalah gedungnya. Jika senyum itu amalan kebaikan maka Taqwa adalah gedungnya. Jika menjaga hubungan silaturrahim itu amalan kebaikan maka Taqwa adalah gedungnya. Jika meninggalkan maksiat adalah amalan kebaikan maka Taqwa adalah gedungnya. Jika berhati-hati ketika memandu kenderaan itu adalah amalan kebaikan maka Taqwa adalah gedungnya. Dan begitulah kesemua amalan kebaikan yang ada. Taqwalah gedungnya. Itulah pengertian Taqwa yang sebenar.

Oleh itu, kita memburu Taqwa hakikatnya kita memburu segala amalan kebaikan yang dianjurkan dalam Islam. Ia bukan suatu yang seringkas yang disangkakan. Justeru banyak pendekatan yang dianjurkan oleh Islam untuk mencapai Taqwa. Antaranya adalah dengan pendekatan Puasa.

Taqwa telah ditetapkan oleh Allah Taala sebagai satu objektif utama dalam amalan Puasa di bulan Ramadhan. Seperti yang jelas termaktub dalam surah Al-Baqarah ayat 184.

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Persoalan timbul, kenapa dengan Puasa kita boleh bertaqwa?? bagaimana proses taqwa berlaku dalam puasa? Puasa yang bagaimana boleh menghasilka taqwa?


Namun coretan kali ini tidak bertujuan menghuraikan persoalan-persoalan tersebut. Tetapi kali ini saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk sama-sama merenung apakah persediaan kita untuk memburu Taqwa tersebut.? Semoga dengan persediaan dan permulaan yang baik ini akan memudahkan kita mencapai penghujungnya yang baik.

 Antara persediaan menyambut Ramadhan yang ingin dikongsikan di sini adalah dari tiga aspek. Fizikal, mental dan rohani.

Fizikal :

1. Jaga kesihatan tubuh badan.

Berpuasa berkait rapat dengan kondisi tubuh badan manusia. Orang yang sakit demam misalnya akan merasa cepat lapar jika ia berpuasa berbanding dengan orang yang sihat tubuh badannya. Ini akan mengganggu fokus dalam memburu taqwa di bulan Ramadhan. Sedangkan berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib.

Oleh sebab itu, dirukhsahkan kepada sesiapa yang sakit ketika dia berpuasa untuk berbuka puasa kemudian dianti pada bulan lain. Rugilah dia. Untuk memastikan taqwa dapat diraih dengan baik, terlebih dahulu ibadat berpuasa di bulan ramadhan dapat dijalankan dengan baik.

 Oleh itu umat Islam hendaklah menjaga kesihatannya menjelang bulan Ramadhan. Dengan itu menunjukkan betapa umat Islam mengutamakan ibadah puasa di bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain.

2. Latihan kurang makan.

Bermula dari hari pertama Hari Raya Aidilfitri, umat Islam mula mendapat selesa baru untuk makan. Setelah sebulan tersekat dengan tabiat makan di waktu siang, maka setelah ia berakhir selera makan itu kembali dengan 'semangat' baru. Selera ini semakin hari semakin ber'semangat' sehinggalah 11 bulan seterusnya. Sehinggalah bertemu Ramadhan kembali. Ibarat kereta yang meluncur di lebuh raya tanpa tol dengan kelajuan 200 km/h, tiba-tiba dipaksa berhenti dimsuatu garisan pada jarak yang dekat. Agak mustahil pada kereta yang mempunyai diskbrek di depan sahaja. Dan mungkin boleh bagi kereta-kereta yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, namun bagaimanalah nasib penumpang di dalamnya. Pasti ada yang tercedera.

 Oleh itu, antara persediaan fizikal yang perlu dilakukan dengan hanya berbaki beberapa hari saja menjelang Ramadhan kali ini dengan kita kurangkan makan dan ubah tabiat permakanan. Kalau sebelum ini makan tiga kali sehari makan kurangkan ke sekali atau dua kali sehari. Bagi yang sekali makan nasi seperti gunung kinabalu maka kurangkanlah seperti gunung stong.

3. Latihan berjaga malam.

Tidur adalah rutin bagi setiap manusia yang hidup. Sepatutnya tidur adalah untuk menunaikan hak badan, jangan sampai tidur itu merosakkan badan. Bangun qiam di waktu malam adalah amalan yang sangat dituntut oleh Islam, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Mungkin sebelum bulan Ramadhan qiam diwaktu malam hanya ketika ada program qiamullail perdana, atau ketika tersedar, atau ketika sangat berhajatkan sesuatu pada Allah, atau ketika tidak boleh tidur atau lain-lain sebab.

Maka sebelum menjelang Ramadhan ini, paksalah diri untuk melazimi qiamullail. Moga dengan persediaan ini kita dipertemukan dengan malam al-qadr yang dijanjikan ganjaran beribadat padanya lebih dari ganjaran beribadat seribu bulan.


Seterusnya persediaan Mental :

 1. Belajar hukum-hukum Puasa.

Ramai di kalangan umat Islam yang akan mula mengajukan soalan-soalan berkaitan dengan hukum puasa pada bulan Ramadhan kepada ustaz-ustaz. Sepatutnya perkara ini tidak lagi berlaku. Selama 11 bulan, masing-masing boleh mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang hukum-hukum puasa dengan lengkap.

Sehinggalah masuk bulan Ramadhan, masing-masing boleh fokus dengan ibadat masing-masing dengan betul dan yakin. Masing-masing boleh menyelesaikan permasalahan masing-masing kecuali hukum-hukum yang memerlukan pada pendapat-pendapat ulama' semasa.

 2. Tukar tabiat hiburan.

Jika selama 11 bulan hiburan yang dipilih untuk melegakan tekanan di jiwa dan fikiran adalah dengan dengar muzik, layan movie berjam-jam, melepak di kedai kopi berjam-jam, maka sudah tiba waktunya untuk mengubah 'channel' hiburan tersebut.

Carilah ketenangan dengan menghayati kehidupan berAllah. Ada zikir khas di waktu pagi, petang dan malam. Carilah ia. Bacalah ia dengan lidah dan hati yang tenang. Alunkan zikir-zikir tersebut dengan nada yang menyeronokkan beserta penghayatannya. InsyaAllah, ketenangan akan turun ke jiwa manusia yang mencari Allah.

Rohani :

1. Doa.

 Antara doa yang dianjurkan oleh baginda menjelang Ramadhan ini adalah ,

 اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Wahai Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syakban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.

 2. Taubat.

Ramadhan adalah bulan pengampunan. Siapa yang berpuasa padanya dengan penuh keimanan dan pengharapan pada Allah akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu. Maka bersedialah dengan taubat yang nasuha kerana ia adalah sebaik-baik taubat. Bertaubat juga dikira satu persediaan kita bertemu bulan yang penuh dengan rahmat dan pahala itu kerana kita pastinya malu untuk bertemu dengan seseorang yang mulia dalam keadaan diri kita yang selekeh dan penuh dengan kekotoran.

3. Jaga hubungan sesama manusia.

Kita beramal kerana Allah. Kita mahu berjumpa Allah dengan amalan-amalan baik yang kita lakukan. Namun ada sesuatu yang boleh menyekat atau menghapuskan amalan-amalan kita itu daripada dipersembahkan kepada Allah. Ia adalah hubungan sesama manusia. Kerana manusia mempunyai jasad, akal dan perasaannya yang tersendiri. Pastikan diri tiada lagi tersangkut dengan mana-mana manusia sebelum bertemu dengan Ramadhan tempat kita mendekatkan diri pada Allah.

 4. Berazam untuk beramal dan taat pada Allah.

 Kadang-kadang kita masuk ke bulan Ramadhan tanpa persediaan. Kita teruskan juga dengan amalan-amalan yang pernah kita lakukan pada Ramadhan sebelum-sebelumnya. Tanpa ada penambahbaikan, tanpa ada peningkatan, tanpa ada kesedaran. Sehinggalah Ramadhan itu pergi meninggalkan kita.

Namun kali ini tidak lagi. Kita mesti berazam untuk lebih bersungguh-sungguh dalam beramal dan taat pada perintah dan larangan Allah. Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan yang paling bermakna bagi diri kita. Seperti berazam untuk melazimi pembacaan Al-Quran dan memahami isi kandungannya sepanjang berada dalam madrasah Ramadhan. Kita bersedia untuk mendapat tarbiah ramadhaniyyah nanti.

Selamat berpuasa.